Penjawat awam terpaksa buat 2 kerja sebab kos sara hidup, gaji tak selari — Cuepacs


  • Massa
  • Jumaat, 17 Dis 2021

PENJAWAT awam juga dinasihatkan supaya tidak mengabaikan kerja hakiki walaupun terpaksa melakukan kerja lain untuk menampung kehidupan. — Gambar hiasan

BERKHIDMAT selama 25 tahun dengan cemerlang tetapi hanya disebabkan melakukan perniagaan tanpa kebenaran, seorang penjawat awam dikenakan hukuman denda sebanyak RM8,000.

Tidak berpuas hati dengan nasib yang menimpa penjawat awam itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat beranggapan perkara itu adalah disebabkan kos sara hidup yang tidak kompetitif dengan gaji.

"Kita menghormati keputusan mahkamah kerana yakin dengan sistem kehakiman yang telah menjalankan tugas mereka dengan baik mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Bagaimanapun komitmen yang tinggi kerana perlu membesarkan anak-anak dengan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan beliau terpaksa dan perlu melakukan dua pekerjaan iaitu berniaga bagi menyara kehidupan keluarga dengan lebih baik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

cupeks-o_HMfield_image_socialmedia.var_1633782074

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat. — Harian Metro

Menurut Adnan, situasi seorang pekerja yang terpaksa melakukan lebih daripada dua pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarga sudah menjadi norma biasa.

Jelasnya, perkara itu bukan mengenai gaya hidup seseorang, tetapi kerana keperluan hidup ketika ini pun sukar untuk dipenuhi berikutan skim gaji yang masih lagi rendah.

"Di sektor awam permulaan gaji adalah RM1,200 sebulan manakala gaji minimum di sektor swasta juga bermula RM1,200 sebulan. Dengan skim gaji yang rendah ini sudah pasti para pekerja perlu melakukan pelbagai pekerjaan lain untuk meningkatkan taraf hidup dan kualiti mereka.

"Justeru itu, adalah wajar kerajaan menyemak semula skim gaji yang diterima oleh para pekerja ketika ini baik di sektor awam dan juga swasta," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menasihatkan penjawat awam yang mahu menjalankan perniagaan atau pekerjaan tambahan sentiasa mematuhi peraturan sedia ada yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Ujarnya, perkara ini perlu dimaklumkan melalui permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan masing-masing dan dalam masa yang sama perlu memastikan kerja hakiki mereka tidak terjejas

Tambah Adnan, ketua jabatan juga diharap dapat bertindak mengikut pertimbangan yang baik dan adil kerana setiap masalah yang berlaku boleh diselesaikan diperingkat jabatan masing-masing tanpa perlu dipanjangkan ke peringkat yang lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram