Pembayar tol bagi cadangan atasi kesesakan trafik selain guna RFID


KESESAKAN di plaza tol kadang-kadang berpunca daripada kegagalan sistem hingga menyusahkan pengguna. — Media Sosial

SEMALAM, Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) mengumumkan yang pihaknya akan mula menghapuskan sistem bayaran tol Toucn n Go kepada sistem pembayaran tol Radio Frequency Identification (RFID) bermula Februari tahun hadapan.

Ternyata pengumuman itu mendapat reaksi yang pelbagai daripada warganet kerana penggunaan RFID masih belum meluas dan sistem itu juga sebenarnya belum sempurna sepenuhnya.

Seorang lelaki bernama Mohd Khairul Azuan menerusi akaun Facebook miliknya turut memberitahu yang walaupun dia sudah memasang RFID sejak 2018, sehingga kini dia masih takut untuk menggunakan lorong RFID.

"Saya pasang RFID sejak 2018. Masa tu ada promosi pasang percuma. Hanya perlu buat temu janji dan hadir di mana-mana tempat pemasangan.

"Saya memang sangat takut nak lalu lorong RFID sahaja. Selalu sangat tak kesan kalau di area Lembah Klang.

"Masa balik Kedah, senang pula kesan RFID kat lorongnya. Pelik juga. Tapi saya memilih Touch n Go lebih daripada RFID buat masa ini," katanya.

2

HANTARAN dari Mohd Khairul Azwan.

Selain itu, Mohd Khairul turut mengutarakan beberapa cadangan untuk mengurangkan kesesakan tol termasuklah dengan memastikan alat pengesan RFID boleh mengesan bahagian depan kereta.

Ini kerana jelasnya, ada kalanya pengguna perlu melihat sendiri di mana alat pengesan untuk memudahkan kenderaan dikesan sebelum palang tol dibuka.

"Jadikan TnG Online boleh digunakan di semua tol di seluruh negara. Sekarang tak semua tol dapat guna balance TnG yang dalam e-wallet," katanya.

Mohd Khairul turut mencadangkan supaya kaedah Electronic Road Pricing (ERP) seperti yang digunakan di Singapura sebagai sistem yang boleh dicadangkan untuk penambahbaikan.

Tambahnya, dia juga berharap supaya sistem tol dalam negara lebih ke hadapan dan tidak mengikut teknologi walaupun terpaksa mengambil contoh daripada negara jiran.

Sebenarnya ramai yang sudah mula faham berkenaan mengapa perlu membayar tol kerana laluan itu lebih mudah dan cepat untuk pengguna sampai ke destinasi.

Tetapi janganlah pertukaran sistem itu menambahkan lagi beban pengguna apatah lagi dengan sistem yang sedia ada ini, saban hari pasti akan ada kenderaan yang tersekat di plaza tol atas beberapa sebab termasuklah kecuaian diri sendiri atau kesilapan teknikal.

Penyudahnya, sistem dan laluan yang diharapkan dapat memudahkan dan menjimatkan masa pengguna hanya menjadi sebab atas kelewatan dan akhirnya membuatkan pengguna terbeban. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram