GARA-GARA teruja mahu menebus hadiah sebuah jam tangan mewah, seorang lelaki kerugian RM54,060 selepas diperdaya sindiket Macau scam di Bentong, Pahang pada Khamis.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, mangsa yang berumur 52 tahun itu pada awalnya ditawarkan hadiah seutas jam tangan Rolex oleh individu yang tidak dikenali.
Katanya, mangsa dimaklumkan suspek supaya melakukan urusan penebusan sebelum diberikan hadiah berkenaan.
"Mangsa seorang lelaki bangsa Cina melakukan empat transaksi secara dalam talian semasa berada di Maybank dan bank HSBC Bentong, Pahang ke dua akaun yang berbeza.
"Selepas melakukan kesemua transaksi dengan jumlah RM54,060 mangsa merasakan ada yang tidak kena dengan tawaran hadiah berkenaan dan berasa dirinya telah ditipu," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau lagi, menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bentong pada Khamis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram