IBARAT masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan bagi individu yang enggan mendengar nasihat demi kebaikan meskipun bala bakal menimpa akibat kedegilan sendiri.
Baru-baru ini, tular beberapa gambar di media sosial berhubung tiga orang wanita yang tidak menghiraukan bahaya ombak apabila bermain air laut di tepi pantai dekat Paka, Terengganu.
Ini berlaku ketika negeri-negeri Pantai Timur berdepan musim banjir dan air laut pasang disebabkan Monsun Timur Laut.
Sepanjang tempoh antara November dan Disember pada setiap tahun, hujan lebat boleh mengakibatkan banjir biasa berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang dan pastinya penduduk di tiga negeri tersebut risau terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah.
Bagaimanapun, amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya bomba dan jabatan meteorologi seperti diabaikan segelintir pihak yang berdegil keluar ke kawasan pantai sama ada untuk bermandi atau melakukan aktiviti di laut sehingga menyebabkan berlakunya kecelakaan.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Mohd Ibn Halim, dia sudah tampil menasihati mereka supaya menjauhi kawasan laut itu, namun nasihatnya hanya sia-sia menyebabkan dia bertindak menghubungi pihak bomba.
"Last-last tepom (Akhirnya saya telefon) bomba. Bomba mari, selesai masalah. Terima kasih," katanya.
Difahamkan, ketiga-tiga wanita berkenaan bukan penduduk asal kawasan itu.
Mohd Ibn turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak bermain di laut berikutan khuatir musibah menimpa.
"Tolong ah belake. Jangan cari nyakit (penyakit) gi main laut di sepanjang pantai negeri Terengganu pada musim tengkujuh," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram