Besut daerah terbaru dilanda banjir, 140 mangsa dipindahkan ke tujuh PPS


  • 112
  • Sabtu, 04 Dis 2021

PENDUDUK di Setiu, Terengganu terpaksa menggunakan traktor untuk bergerak akibat banjir. — Bernama

BESUT menjadi daerah terbaharu dilanda banjir ekoran hujan berterusan yang melanda Terengganu.

Malah, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka pada Jumaat iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu dan menempatkan 10 mangsa (empat keluarga).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan berkata, jumlah mangsa yang terlibat banjir bagaimanapun hanya mencatatkan peningkatan yang sedikit.

"Hanya sedikit peningkatan kepada 140 orang daripada 54 keluarga setakat 8 pagi Sabtu berbanding 135 orang daripada 44 keluarga pada petang Jumaat.

"Setakat ini juga, terdapat tujuh PPS yang beroperasi iaitu empat di Setiu, Kuala Nerus (dua) dan Besut (satu)," katanya.

Menurut kenyataan itu, dua PPS di daerah Setiu iaitu di Masjid Kampung Merbau Menyusut dan Balai Raya Kampung Bari Besar juga telah ditutup.

Jelasnya, buat masa ini mangsa yang paling ramai ialah di Masjid Gong Terap yang menempatkan 56 mangsa (33 keluarga).

"Jumlah kedua diikuti Masjid Chalok Kedai yang menempatkan 19 mangsa (empat keluarga), Balairaya Kampung Bukit Mak Som (13 mangsa, dua keluarga) dan SK Kampung Besut (lapan mangsa, empat keluarga).

"Di Kuala Nerus, mangsa di SK Kompleks Mengabang Telipot ialah 28 orang (enam keluarga) manakala di Surau Mak Jintan jumlah mangsa ialah enam sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat 7.45 pagi pada Sabtu.

Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan 12.56 meter (m) melebihi paras amaran 12m. Di daerah Hulu Terengganu pula, Empangan Tembat mencatatkan 430.49m berbanding paras amaran 430m.

Kebanyakan daerah ketika ini hujan dan lebat di sesetengah kawasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

banjir, meningkat, PPS, mangsa, Sungai Terengganu