EKSKLUSIF

Kos barang naik: Golongan B40 cenderung beli makanan tidak sihat untuk anak


  • Massa
  • Jumaat, 17 Dis 2021

IBU bapa perlu bijak dalam penyediaan makanan anak masing-masing supaya sentiasa terjaga waima dalam situasi kenaikan harga barang. — Gambar hiasan/ The Star

PEMBELIAN barang keperluan makanan yang terhad susulan kenaikan harga barang akan memberi kesan kepada kepelbagaian makanan terutamanya sumber makanan yang menyumbang kepada vitamin serta zat mineral bagi memenuhi keperluan keluarga termasuk anak-anak.

Pensyarah Dietitik, Program Dietitik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata, hal itu dikhuatiri akan menyebabkan ada ibu bapa cenderung membeli makanan lebih murah yang kadangkala tidak sihat bagi mengatasi masalah kelaparan dalam kalangan anak-anak mereka.

"Apabila barang naik, ada keluarga yang daripada kumpulan B40 dan M40 yang terjejas perlu lebih teliti dalam pembelian barang dapur dan mengawal jumlah makanan yang dibeli.

"Mereka akan fokus kepada makanan lebih murah yang mungkin mempunyai kandungan gula, lemak serta garam yang tinggi selain kurang dari segi zat dan nutrien termasuk vitamin dan mineral.

"Sumber protein amat penting untuk tumbesaran anak dan jika kurang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan anak. Selain itu, sayur dan buah juga amat penting untuk membekalkan serat, vitamin dan mineral," katanya kepada Majoriti.

rosleerajikanweb-removebg-preview-e1583737672869

Roslee merasakan rancangan makanan tambahan perlu diperkasa untuk membantu tumbesaran kanak-kanak.

Roslee berkata, jika pengambilan makanan berkhasiat kurang, hal tersebut boleh memberi kesan kepada ketahanan badan untuk melawan atau menghadapi penyakit.

"Saya lebih berpendirian sumber makanan yang sebenar seperti nasi,roti, mi, makanan berprotein seperti ayam, ikan serta telur di samping sayuran dan buah perlu diutamakan.

"Sumber makanan ini juga harus diberi perhatian sebagai sumber bekalan untuk tenaga, karbohidrat, protein, vitamin dan mineral bagi memenuhi keperluan individu termasuk kanak-kanak," jelasnya.

Roslee yang juga Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar UKM berkata, sebagai solusi, selain daripada pengawalan harga barang oleh kerajaan, penanaman sayur-sayuran serta buah-buahan sendiri sama ada di kawasan bandar atau luar bandar perlu dibuat bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan.

"Rancangan makanan tambahan juga perlu diperkasa untuk membantu golongan yang memerlukan dan sangat rentan seperti kanak-kanak," katanya.

Prof-Ruzita-e1585201159881

Ruzita menyarankan ibu bapa yang tidak mampu membeli suplemen untuk menggantikannya dengan makanan sebenar.

Sementara itu, Pakar Nutrisi, Program Sains Nutrisi Fakulti Sains Kesihatan UKM, Prof Dr. Ruzita Abd Talib berkata, ibu bapa boleh menggantikan suplemen vitamin C dengan buah-buahan sebenar seperti oren dan jambu batu sebagai ganti kepada tablet vitamin yang mungkin agak mahal.

"Sumber kalsium pula boleh diperoleh secara semula jadi daripada susu penuh krim dan susu segar yang perlu diambil sekurang-kurangnya dua kali sehari.

"Sajian sayur dan buah pula masing-masing diambil sebanyak tiga dan dua sajian sehari bagi memastikan mereka dapat nutrisi mencukupi bagi melawan jangkitan seperti demam, batuk dan selesema yang boleh menjejaskan tumbesaran mereka," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Dietitik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Siti Nurhayati Ali berkata, ibu bapa perlu bijak dalam penyediaan makanan anak masing-masing supaya sentiasa terjaga waima dalam situasi kenaikan harga barang.

Berkongsi beberapa tip, Siti Nurhayati berkata, ibu bapa perlu berkorban masa untuk menyediakan masak dan membawa bekal ke sekolah dan tempat kerja kerana barang asas lebih murah berbanding makan di luar selain nutrisi lebih terjaga apabila dimasak sendiri.

Selain itu katanya, ibu bapa disaran menggunakan protein tumbuhan seperti tempe dan tauhu antara satu hingga dua kali dalam seminggu bagi menggantikan protein mahal termasuk ayam, daging serta ikan.

"Ibu bapa juga perlu ada ilmu penyimpanan bahan asas. Contohnya barang mungkin dibeli seminggu sekali, jadi gunakan sayur berdaun dahulu kerana mudah layu. Ini dapat elak pembaziran dibuang kerana rosak.

"Mereka juga disaran menggunakan semua sumber sebaik mungkin. Elakkan fokus kepada masalah sebaliknya fokuslah kepada penyelesaian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram