KEMELUT melanda skuad The Red Warriors apabila beberapa tonggak utama dikatakan tidak berpuas hati dengan jumlah gaji yang diterima bagi bulan November.
Beberapa tonggak utama dilihat meluahkan perasaan tidak puas hati di laman sosial masing-masing kerana mendakwa sekadar menerima gaji selama sembilan hari saja.
Antara yang lantang bersuara adalah penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin dan pemain sayap, Haziq Subri.
Tangkap layar perbualan Faridzuean yang mendakwa kelab hanya membayar gaji sebanyak sembilan hari pada November.
Namun difahamkan, pihak pengurusan bertindak sedemikian lantaran TRW tersingkir awal di peringkat kumpulan Piala Malaysia, jadi kaedah pembayaran gaji dilakukan secara prorata seperti mana yang termaktub dalam kontrak.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Kelantan FC kecewa tindakan sesetengah pemain yang membangkitkan isu berkenaan walaupun sudah diberitahu mengenai cara pengiraan gaji bagi bulan November.
Menurut Pengurus Operasi Kelantan FC, Qusmaini Noor Rusli, pemain sudah bersetuju dengan perkara itu sebelum menandatangani kontrak.
"Kelantan FC merasa terkilan terhadap kenyataan yang dianggap boleh mencemarkan imej serta reputasi kelab di mana ia dibuat tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak pengurusan.
"Kami ingin menegaskan berkaitan gaji prorata bahawa semua pemain telah menandatangani surat tawaran di awal musim dan dipersetujui seperti yang termaktub di dalam surat tawaran.
"Gaji terakhir dikira prorata kerana pemain beraksi hanya sembilan hari dan merupakan hari terakhir pada November 2021 yang lepas," katanya.
Jelasnya, bayaran bonus dan petunjuk prestasi utama (KPI) semua pemain juga diselesaikan dalam bulan yang sama dan tiada tunggakan sejak dari awal musim.
Tambah Qusmaini Noor, pihak kelab juga sentiasa terbuka untuk melakukan rundingan dengan bekas pemain mengikut saluran yang betul bagi menyelesaikan segala isu berbangkit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram