Penjual ayam tak mengaku sumbang mahram bersama adik ipar bawah umur di Kuala Krai


KEJADIAN didakwa berlaku di sebuah rumah di Sungai Durian, Kuala Krai pada 23 November lalu. — Sinar Harian

SEORANG penjual ayam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan pada Rabu atas tuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik ipar perempuan di bawah umur.

Tertuduh yang berusia 33 tahun didakwa di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan hubungan seks bersama adik ipar yang berusia 15 tahun tujuh bulan.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah rumah di Sungai Durian, Kuala Krai pada 23 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, Abu Arsalnaa menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin.

Lelaki itu bagaimanapun merayu agar jaminan terhadapnya dikurangkan kerana perlu menanggung keluarga termasuk anak sulung berusia tujuh tahun yang juga orang kurang upaya (OKU). — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram