Lori tangki minyak meletup, 60 maut


  • Benua
  • Rabu, 15 Dis 2021

LORI tangki yang mengisi minyak itu terbabas sebelum meletup. — Agensi

ANGKA kematian meningkat kepada sekurang-kurangnya 60 orang apabila sebuah lori tangki bahan api meletup di bandar pelabuhan Cap-Haitien di utara Haiti pada Selasa.

Timbalan Datuk Bandar, Patrick Almonor berkata, berpuluh-puluh orang cedera dan dibawa ke hospital di Cap-Haitien, bandar kedua terbesar di Haiti.

"Apa yang berlaku ini adalah sesuatu yang sangat mengerikan.

"Anggota bomba sedang membuat penilaian awal untuk menentukan jumlah rumah yang terbakar," kata Almonor.

Kerajaan mengumumkan akan membina hospital medan untuk merawat mangsa yang cedera memandangkan kawasan hospital sesak dengan mangsa.

Almonor berkata, letupan berlaku pada pagi Selasa selepas lori tangki itu cuba mengelak sebuah motosikal dan terbalik serta menyebabkan bahan api melimpah keluar.

Haiti bergelut dengan kekurangan bahan api dan harga gas yang melambung tinggi, dicetuskan oleh tindakan kumpulan bersenjata.

Pada 25 Oktober, anggota kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kesukaran menghantar bahan api di Haiti berkemungkinan akan mengorbankan nyawa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Haiti, Lori Tangki, Letupan, Maut