GARA-GARA insiden buli melibatkan pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar Perak baru-baru ini, satu lagi video melibatkan seorang pelajar yang dibelasah sekumpulan pelajar lain dipercayai berlaku di SMK Kemahang Tanah Merah Kelantan kembali tular sejak Selasa.
Menerusi video tersebut, mangsa buli dilihat ditumbuk dan ditendang berulang kali di bahagian perut oleh dua pelajar berbeza secara bergilir-gilir tanpa belas kasihan.
Malah, mangsa juga dilihat menangis teresak-esak ketika dipukul dan ditendang pembuli dalam sebuah dorm di asrama sekolah itu.
Kejadian itu mengundang kemarahan warganet di media sosial Facebook dan menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan segera.
"PDRM bertindak, bagi hukuman setimpal.....jangan biarkan anak-anak itu," komen pengguna Facebook Nas Asysr.
"Dah tiba masanya kerajaan kena bertegas dengan pembuli. Bagi hukuman setimpal....dakwa pelaku cukup-cukup," komen dari Alex Joe.
"Better tutup saja asrama yang ada kes buli. Kadang-kadang bukan pelajar yang membuli saja perlu kita ambil tindakan, pihak kakitangan sekolah dan asrama juga perlu diberi penekanan supaya kes-kes buli seperti ini tidak berulang. Takut nanti daripada kes buli jadi kes bunuh, " kata Amirul Iskandar di hantaran itu.
Bagaimanapun, hasil semakan Majoriti mendapati ia merupakan insiden lama yang berlaku sekitar September 2020 dan kesemua pelaku telah dikenakan tindakan.
Insiden itu dilaporkan berpunca daripada salah faham dan tidak puas hati ketiga-tiga suspek terhadap mangsa berhubung gurauan untuk belanja ayam goreng. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram