'Pak Menteri jangan lantik kaki bodek, kaki ampu'


  • Massa
  • Rabu, 15 Dis 2021

PEMIMPIN di negara ini dinasihati supaya melantik pegawai dan pembantu yang ikhlas bekerja. — Gambar hiasan/Bernama

PEMIMPIN di negara ini dinasihati supaya melantik pegawai dan pembantu yang ikhlas bekerja dan tidak mempunyai kepentingan peribadi kerana boleh merosakkan imej mereka.

Pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri lain harus sentiasa memantau orang yang mereka lantik dari semasa ke semasa supaya tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

"Jangan lepas semua benda kepada orang di sekeliling kita. Kadangkala mereka inilah yang bertindak lebih daripada PM dan Menteri itu sendiri, ibarat sokong membawa rebah.

"Selain itu pastikan mereka ini ada jiwa takutkan Allah atau takutkan tuhan (god fearing) bagi mereka yang bukan beragama Islam. Ada ihsan dalam dirinya, kita tidak nampak Allah, tapi yakinlah Allah nampak kita," katanya dalam satu hantaran Facebook.

Beliau berkata demikian bagi mengulas nasib yang menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan rasuah serta penggubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Katanya, beliau bersimpati dengan nasib yang menimpa Najib dan kes itu seharusnya dijadikan pengajaran kepada pemimpin-pemimpin lain supaya peka akan orang-orang di sekeliling mereka.

"Tidak dapat nafikan bahawa Najib Razak adalah seorang negarawan yang bijak, cekap dan pandai mengurus. Saya hanya dapat berdoa, semoga beliau diberikan kekuatan untuk menghadapi semua cabaran ini," katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan berkata, apabila seseorang dilantik sebagai Perdana Menteri atau Menteri, mereka akan didekati ramai orang kerana mereka merupakan 'lubuk' kuasa dan sumber kekayaan.

Justeru, katanya, pemimpin harus mengelakkan daripada melantik pembantu yang suka membodek, mengamalkan rasuah dan menyorokkan kebenaran, sebaliknya memilih mereka yang berani menegur kesalahan.

"Mereka inilah yang merosakkan PM dan Menteri kerana meletakkan kepentingan peribadi melebihi kepentingan rakyat.

"Nasihat ini bukan sahaja untuk mereka yang bergelar PM dan Menteri, tetapi juga mereka yang bergelar pemimpin seperti ketua perkhidmatan awam, ketua universiti awam, ketua GLC dan macam-macam ketua lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram