PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu memiliki jentera akar umbi yang menyeluruh di seluruh negara jika mahu bersaing dengan parti-parti lain sedia ada.
Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, jentera Muda tidak boleh hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar sahaja kerana DAP bakal membayangi parti berkenaan terutama di kawasan majoritinya pengundi Cina.
"Untuk parti tersebut memberi pengaruh besar, mereka memerlukan satu modal politik iaitu dari segi kewangan, sumber manusia dan calon.
"Calon itu pula bukan muncul seperti cendawan selepas hujan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) kelak.
"Muda memerlukan masa untuk memantapkan jentera dari akar umbi.
"Kita dapat lihat jarang sekali parti baharu mendapat tempat di hati rakyat, apatah lagi menang besar pada pilihan raya melainkan jika rakyat benci kepada kerajaan seperti berlaku pada PRU ke-14 lalu," katanya kepada Majoriti.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendaftarkan Muda dalam masa 14 hari serta membayar kos guaman sebanyak RM10,000.
Pada 24 Ogos lalu, Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran yang baharu bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan untuk mendaftarkan Muda sebagai sebuah parti politik.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Muda perlu mencari 'niche' baharu supaya dapat bersaing dengan parti-parti sedia ada.
"Untuk masa hadapan, banyak cabaran yang perlu dilalui oleh kepimpinan parti berkenaan.
"Kalau diberi masa, mereka dapat memperkukuhkan dan paling penting, meramaikan golongan muda serta dewasa untuk menyertai parti tersebut.
"Saya nampak parti ini tidak sepatutnya menyuarakan suara golongan muda sahaja tetapi juga suara semua rakyat, barulah rakyat akan memberi pertimbangan untuk menyokong Muda kelak," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram