Kes insiden bas: Bukan AADK tetapi majikan yang perlu main peranan


  • Massa
  • Selasa, 14 Dis 2021

WARGANET meminta AADK lakukan operasi lebih kerap susulan kemalangan libatkan bas dan 10 buah kenderaan baru-baru ini. — Facebook

KEMALANGAN bas yang turut melibatkan 10 buah kenderaan lain baru-baru ini menimbulkan pelbagai cadangan terutamanya melibatkan isu ujian air kencing untuk mengelak pemandu dipengaruhi dadah.

Malah, ada meminta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) supaya lebih kerap menjalankan operasi untuk mengesan individu yang berada di bawah pengaruh dadah.

Namun, Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk melakukan operasi tanpa melibatkan pihak berkuasa yang lain.

"Kalau operasi bersepadu (melibatkan polis), memang kita boleh lakukan ujian saringan air kencing untuk mengesan mereka.

"Selain daripada itu, kita hanya boleh bertindak mengikut aduan yang disampaikan orang ramai kepada AADK sahaja.

"Sebab itu yang perlu mengambil peranan penting ialah majikan kerana mereka boleh menjalankan ujian saringan dan mengesan pekerja yang di bawah pengaruh dadah secara berkala," katanya kepada Majoriti.



SUTEKNO memaklumkan majikan yang perlu memainkan peranan untuk memastikan pekerja mereka bebas dadah. — Facebook

Terdahulu, terdapat warganet yang meminta supaya AADK melakukan operasi lebih kerap terutamanya melibatkan pemandu bas untuk mengelak kejadian kemalangan jalan raya berlaku.

Menurut Sutekno, majikan perlu memainkan peranan penting kerana hanya mereka yang boleh mengawal perkembangan semasa pekerja mereka.

"Kita tidak tahu bila pekerja itu terlibat dengan dadah. Ada kemungkinan pada mulanya bebas, tetapi selepas bergaul dan sebagainya, mereka terpengaruh untuk mengambil dadah.

"Jadi majikan sebenarnya perlu bertanggungjawab untuk melakukan ujian saringan secara berkala dan jika ada yang didapati positif dadah, maka maklumkan pada AADK untuk kita lakukan proses seterusnya termasuklah pemulihan," katanya.

Jelas Sutekno lagi, antara inisiatif yang sedang dijalankan termasuklah menjalinkan kerjasama dan kesedaran dengan majikan menerusi Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD).

Tambahnya, menerusi program itu, AADK akan membimbing majikan untuk lakukan pemeriksaan dan mengadakan program bagi mengekang penglibatan pekerja mereka dengan aktiviti dadah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram