Permohonan mendadak punca bantuan Covid-19 lambat


  • Massa
  • Isnin, 13 Dis 2021

PERMOHONAN mendadak berbanding sebulan yang lalu membuatkan proses penerimaan bantuan lewat. — Gambar hiasan/The Star
ISU kelewatan Bantuan Khas Covid-19 dan Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 adalah disebabkan jumlah permohonan yang meningkat secara mendadak.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, semakan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bilangan permohonan yang meningkat secara mendadak berbanding kakitangan sedia ada.

"Selain itu, isu kelewatan penerimaan bantuan juga disebabkan oleh dokumen yang diterima tidak lengkap.

"Jika tidak mempunyai masalah, bayaran akan dibuat dalam masa 30 hari dari tarikh kelulusan bagi permohonan yang layak dan lengkap," katanya kepada Majoriti.

Pada 18 November lalu, NADMA hanya merekodkan sebanyak 6,000 permohonan dan angka itu jauh lebih rendah berbanding hampir 30,000 jumlah kematian direkodkan.

Menurut Dr Aminuddin, jumlah itu bagaimanapun meningkat dan sehingga 6 Disember lalu, sebanyak 65,189 permohonan Bantuan Khas Covid-19 telah diterima.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 55,184 permohonan telah diproses dan 22,336 permohonan telah diluluskan yang melibatkan bantuan sebanyak RM28.6 juta.

"Manakala bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 pula, daripada 24,305 permohonan yang diterima, 14,818 permohonan telah diproses dan 11,816 permohonan telah dilulus melibatkan bantuan sebanyak RM59.08 juta," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Massa, Covid-19, NADMA, Bantuan, Lewat