BERMULA sekadar hobi bagi mengisi masa lapang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mei tahun lepas, kini aktiviti menanam sayur memberi pendapatan sampingan buat dua sahabat Nurul Ashikin Abdul Halim, 28, dan Norhaya Jamal, 38.
Nurul Ashikin berkata, bermodalkan RM50, mereka mula menanam sayur menerusi teknik hidroponik menggunakan bahan kitar semula seperti botol, gabus dan besen di belakang rumah mereka, di Kampung Tambak Sebelong di Melaka.
Walaupun usaha tersebut tidak menjadi pada mulanya, penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia Melaka itu berkata, mereka tidak berputus asa dan selepas mengikuti kursus tanaman hidroponik di Bukit Durian di Melaka, tanaman sawi dan bayam mula mengeluarkan hasil.
“Kami sangat teruja dan gembira apabila tanaman membuahkan hasil dalam tempoh dua minggu lebih, sekali gus memberi semangat untuk kami terus bercucuk tanam pelbagai sayur-sayuran, menggunakan kaedah hidroponik dan pasu.
“Mulanya hasil tanaman berkenaan digunakan sendiri untuk memasak dan diberikan kepada jiran dan saudara-mara terdekat. Sambil bercucuk tanam sambil berkongsi rezeki dan kini ia menjadi sebahagian pendapatan sampingan. apabila sayur berkenaan dijual secara kecil-kecilan kepada kenalan terdekat,” katanya ketika ditemui di Melaka.
Nurul Ashikin menuai hasil bendi yang ditanam di rumahnya. — Bernama
Nurul Ashikin berkata, sehingga kini mereka tidak lagi membeli sayur-sayuran seperti sawi, bayam, terung panjang dan bulat, bendi merah dan hijau, tomato, bayam Brazil, kubis bunga, daun sup, cili padi, cili hidup, bunga telang dan cili benggala di kedai atau pasar, kecuali jika sayur tersebut tidak ditanam, justeru secara tidak langsung menjimatkan perbelanjaan dapur.
Anak sulung daripada lima adik-beradik itu berkata, daripada pendapatan tersebut, beliau dan Norhaya memperbesarkan skala tanaman mereka dengan membeli set hidroponik sebanyak 200 lubang, agar lebih banyak hasil dapat dikeluarkan.
“Secara keseluruhan, kami hanya berbelanja lebih RM3,000 sahaja untuk membeli pasu, tanah dan baja organik serta set hidroponik, tetapi nilai sayur-sayuran yang diperoleh dalam tempoh ini agak berbaloi.
“Tidak rugi berbudi pada tanah lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang banyak barangan keperluan dan sayur-sayuran naik harga dan jika kita rajin menanam, kita dapat hasilnya dan dapat jimatkan belanja,” katanya.
Nurul Ashikin memeriksa cili hijau yang ditanam di rumahnya. — Bernama
Nurul Ashikin yang berasal dari Kampung Sungai Burung, Sekinchan, Selangor itu berkata, tanaman yang diusahakan mereka bebas racun serangga, selain menggunakan cuka kayu, bawang putih dan kulit telur bagi menghalau serangga perosak.
Katanya, selain mengusahakan sayur-sayuran berkenaan, beliau dan Norhaya turut menjual tanah campuran untuk bercucuk tanam pada harga RM12 (10 kilogram) dan RM 10 (tiga paket).
Nurul Ashikin berkata, mereka mengimpikan untuk membuat sebuah kebun terbuka di kawasan rumah mereka, dan memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkemampuan mendapatkan sayur-sayuran secara percuma.
“Kami berharap impian ini dapat dicapai pada masa akan datang kerana bukan sahaja dapat menikmati hasil sendiri tetapi juga dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram