Trailer baharu Batman beri gambaran watak Riddler


  • Hiburan
  • Selasa, 14 Dis 2021

RIDDLER merupakan watak penjahat yang cukup bersemangat menewaskan Batman. — Agensi

IDENTITI Batman tidak pernah terbongkar dalam setiap filem-filemnya sebelum ini, tetapi mungkin tidak untuk filem The Batman ekoran kemungkinan salah seorang musuhnya yang paling berbahaya bakal mendedahkan rahsia adiwira itu.

Filem The Batman bakal menjengah pawagam pada tahun hadapan, dan nampaknya Riddler lakonan Paul Dano mengetahui rahsia besar Bruce Wayne dan menggunakannya sebagai kelebihan untuk melawannya.

Trailer antarabangsa baharu untuk The Batman menumpukan banyak perhatiannya pada watak antagonis, Edward Nashton atau Riddler.

Watak penjahat Riddler cukup bersemangat menewaskan Batman kerana dia mengenali Bruce secara peribadi.

Dalam trailer itu, dipaparkan foto Bruce dan ibu bapanya bersama seorang budak lelaki berambut panjang yang berkaca mata, dalam lingkungan umur Bruce.

Satu lagi foto serupa budak lelaki itu mempunyai tanda soal di mukanya, membayangkan bahawa dia terus menjadi teka-teki.

Namun, kanak-kanak itu mempunyai rupa Riddler yang klasik.

Ditulis di sebelah imej budak itu ialah frasa "Kalaulah saya tahu kemudian... apa yang saya tahu sekarang..." Ini membayangkan bahawa Riddler memang tahu bahawa Bruce adalah Batman.

Dia hanya boleh mendedahkan maklumat itu kepada orang ramai, tetapi Edward jelas mempunyai matlamat yang jauh lebih besar dalam fikiran dan berpotensi menundukkan Bruce sekali gus menakluk Gotham City.

Gambaran Riddler ini lebih terasa seperti pembunuh bersiri kehidupan sebenar berbanding penjahat buku komik aneh yang pernah dimainkan oleh Jim Carrey.

Dia kejam dan agak menakutkan. Ini adalah matlamat penulis dan pengarah, Matt Reeves yang berpendapat bahawa kisah Batman ini adalah versi paling menakutkan untuk buku komik itu setakat ini. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Batman, Riddler, filem, trailer, pawagam, Bruce Wayne