Enam tahun sudah berlalu, elaun khas bomba masih samar — Cuepacs


  • Massa
  • Isnin, 13 Dis 2021

PEKERJAAN anggota bomba yang setara sebagai petugas barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan besar. — Gambar hiasan

KIRA-KIRA 14,000 anggota bomba di seluruh negara ketika ini pasti tertanya-tanya bilakah elaun bayaran insentif bomba (BIB) yang dalam peringkat kajian sejak tahun 2015, akan dimuktamadkan memandangkan isu tersebut sudah terlalu lama berlarutan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya turut difahamkan sebelum ini, JBPM sendiri telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka namun sehingga kini ia masih belum diputuskan oleh kerajaan.

Beliau berkata, untuk itu pihaknya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan dengan segera tanpa perlu melakukan kajian yang mungkin memakan masa lagi.

"Kadar elaun semasa yang diterima ini sangat kecil jika dikira pada masa ini dan perlukan pengkajian semula selepas 14 tahun.

"Peningkatan elaun perkhidmatan merupakan salah satu inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota JBPM selain memastikan segala peralatan yang diterima mematuhi piawaian keselamatan dan diselenggara dengan baik.

"Dari segi justifikasinya, memang wajarlah apa yang diminta ini jika dibandingkan dengan risiko yang dihadapi.

"Sudah tentu lebih 14,000 anggota JBPM menunggu-nunggu bilakah nasib dan kebajikan mereka ini diberi perhatian oleh kerajaan memandangkan perkara ini sudah lama dibincangkan," katanya kepada Majoriti.

Adnan berkata, elaun BIB yang diterima anggota JBPM ketika ini ialah RM110 sebulan dan jumlah itu disifatkan sebagai tidak setimpal dengan bebanan dan risiko kerja anggota JBPM yang diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan bagi tugasan lebih masa.

Beliau berkata, jumlah RM110 itu bersamaan dengan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan hanya sekitar 80 sen setiap jam jika bertugas untuk syif 24 jam.

Mengikut kronologi, katanya, elaun BIB yang diterima oleh anggota JBPM adalah RM27.50 pada tahun 90-an sebelum dinaikkan kepada RM90 pada tahun 2000 dan RM110 pada tahun 2007.

"Pekerjaan anggota bomba yang turut berada sebagai barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar.

"Walaupun nilai pengorbanan tersebut tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, ia perlulah setimpal dengan khidmat terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat," katanya.

Adnan pada masa sama turut menzahirkan rasa dukacita terhadap berita pemergian seorang anggita bomba yang terkorban setelah terlibat dalam letupan ketika memadam kebakaran sebuah kilang di Segamat, Johor pada awal pagi Isnin.

"Cuepacs berharap keluarga arwah tabah menghadapi dugaan tersebut dan berharap pihak JBPM menyalurkan bantuan termasuk daripada segi emosi dan mental.

"Begitulah risiko yang dihadapi oleh wira negara kita dalam memastikan kelancaran operasi penyelamatan. Didoakan semoga tabah menghadapi dugaan ini," katanya.

Untuk rekod, pada tahun 2016, elaun insentif khas bulanan bagi anggota bomba sedang dikaji semula oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ketua Pengarah JBPM ketika itu, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, sebanyak tiga permohonan telah dikemukakan kepada JPA untuk kelulusan.

Antara permohonan yang dibuat adalah membabitkan elaun bantuan insentif bomba, elaun khas kerajaan kepada unit beruniform dan elaun atas panggilan (on call).

Pada tahun 2019, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Datuk Seri Ismail Bakar pula dilaporkan berkata, kerajaan masih mengkaji secara menyeluruh mengenai elaun kritikal penjawat awam yang sehingga kini belum dimuktamadkan.

Beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai kertas cadangan berhubung elaun kritikal bomba yang akan dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya lagi, penyerahan kertas cadangan tersebut perlu dirujuk kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin (kini Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Menteri KPKT baharu di bawah kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram