SEORANG anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat yang cedera parah akibat terkena letupan sewaktu operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu di Segamat, Johor pada Sabtu, meninggal dunia, awal pagi Isnin.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis, anggota terbabit iaitu Pegawai Bomba Mohd Firdaus Sulaiman, 32, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat pada jam 4.15 pagi.
Ujar beliau, jenazah kini masih berada di Hospital Segamat.
"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Zaitun, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan. Allahyarham sudah 10 tahun berkhidmat sebagai Pegawai Bomba sejak 3 Disember 2012.
"Bersama-sama kita mendoakan semoga arwah ditempatkan bersama-sama orang beriman," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Allahyarham meninggal dunia pada kira-kira pukul 4.10 pagi tadi akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Mohd Firdaus meninggalkan seorang isteri, Nurul Jannah Abd Hamid Khan, 29, dan anak perempuan Aisy Alisha Mohd Firdaus, 3.
Dalam kejadian pada Sabtu, seorang pegawai bomba dan seorang anggota pasukan tindakan kecemasan (ERT) kilang cedera parah, manakala seorang lagi pegawai bomba melecur akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran di sebuah kilang memproses habuk kayu.
Kesemua mereka adalah Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Syed Putra Syed Mohd Al Atas, 52; Pegawai Bomba, Mohd Firdaus Sulaiman, 32, dan anggota ERT kilang, Mohamad Azuraini Mahrani, 40.
Mohd Firdaus dan Mohamad Azuraini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat manakala Syed Putra menerima rawatan pesakit luar di hospital sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram