SEORANG pemandu dan kelindan lori kontena cedera parah selepas kenderaan itu merempuh bahagian belakang sebuah lori treler di Kilometer 397.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran R&R Ulu Bernam, Tanjung Malim, Selangor.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi Ahad itu, pemandu, Mohd Danial Feizal, 27, dan kelindan lori, Abd Razali Abd Rahman, 37, mengalami kecederaan parah di bahagian dada dan kaki akibat rempuhan tersebut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dan Tanjung Malim tiba di lokasi pada 4.05 pagi.
"Laporan awal mendapati lori kontena itu melanggar bahagian belakang lori treler yang berada di laluan lorong kiri menghala arah selatan.
"Bomba mengambil masa 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa dengan menggunakan peralatan khas," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, kedua-dua mangsa berkenaan dibawa ke Hospital Slim River, Perak menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan rawatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
