SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad mengesahkan seorang pegawainya ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes rompakan secara berkumpulan di ibu negara, Jumaat lepas.
SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk mengesan pegawai terbabit dan menyerahkannya kepada agensi penguat kuasa itu, petang Sabtu.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dengan sebarang perlakuan jenayah.
"Tindakan tegas termasuk pertuduhan di mahkamah dan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja akan dikenakan jika terlibat,” kata kenyataan itu.
KENYATAAN media SPRM berhubung penahanan pegawainya yang disyaki terlibat kes rompakan berkumpulan. — SPRM
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai sebuah agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rompakan secara berkumpulan di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Berdasarkan laporan itu, suspek disyaki menyalahgunakan kuasa dengan memberitahu mangsa bahawa tujuan kedatangan ke rumah itu bagi mencari dokumen berkaitan pengubahan wang haram.
"Semasa penggeledahan dibuat, suspek menemui dua beg berisi wang tunai berjumlah RM700,000 yang disimpan di dalam bilik dan meminta mangsa membawanya turun ke lobi.
"Suspek yang sebelum itu telah merampas telefon bimbit dan pasport mangsa serta isteri dan pembantu rumahnya kemudian beredar bersama beg tersebut," kata laporan polis seperti didedahkan portal berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
