MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin beranggapan bahawa tiada keperluan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) buat masa ini.
Menurut Khairy, apa sahaja keputusan untuk mengadakan pilihan raya perlu berbalik kepada penilaian risiko.
"Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Sarawak perlu dilakukan kerana perkara itu tidak dapat dielakkan disebabkan kita bersetuju untuk tidak mengisytiharkan darurat.
"Tetapi kita buat penilaian risiko dan letak satu garis panduan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang cukup ketat dan kompaun yang dikeluarkan telah memberi kesan kepada tingkah laku semua.
"Alhamdulillah, dengan SOP ketat itu, kita menyaksikan yang PRN Melaka boleh dikatakan berjaya dan sehingga kini, belum ada kluster yang membimbangkan daripada PRN itu," katanya dalam satu sesi temubual yang disiarkan di RTM 1 pada Ahad.
Namun menurut Khairy, PRU adalah sesuatu yang boleh dielakkan dan tidak perlu disegerakan.
Malah, beliau juga telah menyampaikan nasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkenaan perkara itu apatah lagi dengan kehadian varian baharu Covid-19, Omicron.
"Saya melihat daripada segi kesihatan awam, walaupun PRN Melaka sudah berjaya, tetapi PRU tetap perlu dielakkan buat masa ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
