JAMINAN yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad berhubung harga barangan akan kembali stabil menjelang tahun hadapan adalah tidak berasas.
Tegas pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Dr. Barjoyai Bardai, tiada siapa dapat memberi jaminan harga barangan akan turun melainkan kerajaan mempunyai pelan tertentu dalam tempoh beberapa bulan mendatang.
"Kalau pelan itu dilaksanakan, baru rakyat boleh percaya tetapi beliau menyatakan tentang soal itu (harga barangan stabil) dengan alasan bahawa situasi sama berlaku di seluruh dunia. Bagi saya, itu andaian besar.
"Kerajaan tidak sepatutnya memberi jaminan kepada sesuatu yang berpaksikan andaian semata-mata.
"Kerajaan seharusnya perlu melakukan sesuatu bagi memastikan harga barangan tidak terus meningkat. Contohnya, harga ayam naik tetapi kerajaan mengeluarkan permit import sebanyak RM100 juta untuk mengimport ayam dari Thailand dalam tempoh lima bulan akan datang.
"Bagaimanapun, kerajaan tidak menyebut langsung tentang langkah-langkah sedemikian," ujarnya kepada Majoriti pada Ahad.
BARJOYAI Bardai. — Agensi
Terdahulu, Ismail Sabri berkata sekatan pergerakan turut dialami oleh negara luar yang mengeksport produk makanan kepada Malaysia sekali gus mengakibatkan penawaran berkurangan.
"Kita ternak ayam tetapi makanan ayam datang dari luar, begitu juga dengan baja dan racun yang diimport dari luar...apabila barang sedikit, permintaan banyak, tentu sahaja akan menyebabkan harga naik.
"Saya percaya keadaan ini akan beransur pulih apabila sektor ekonomi masing-masing dibuka dan pengeluaran akan kembali normal. Kita jangka Insya-Allah pada awal tahun depan harga kembali stabil," katanya ketika berucap pada Program Khatan Perdana Parlimen Bera di Dewan Majlis Daerah Bera Padang Luas di Bera pada Ahad.
Tambah Barjoyai, kerajaan perlu lebih proaktif dan melaksanakan siasatan menyeluruh terhadap harga barangan yang meningkat terutamanya yang melonjak dua kali ganda daripada sebelum ini.
"Kalau rakyat tahu secara telus berhubung peningkatan kos input barangan sehinggalah ia sampai ke pasaran, saya berpendapat rakyat boleh terima meskipun harga barangan naik kerana kerajaan memberikan fakta yang sahih.
"Selain itu harga sayur-sayuran dan buah-buahan boleh ditangani dengan mudah sekiranya kerajaan menggalakkan semua rakyat melakukan penanaman sendiri di rumah dan para petani meningkatkan pengeluaran produk mereka," menurutnya.
HARGA sayur-sayuran boleh ditangani melalui galakan kerajaan terhadap para petani dan rakyat. — Bernama
Ujar Barjoyai lagi, pengguna juga perlu berani melakukan usaha memboikot membeli ayam sebagai salah satu langkah untuk membendung peningkatan harganya yang berterusan.
"Tidak makan ayam satu hingga dua minggu atau satu hingga dua bulan pun tidak mengapa. Gantikan ayam dengan sumber protein lain.
"Pengguna perlu menjadi lebih berwibawa daripada membenarkan monopoli terus mengeksploitasi mereka," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram