MAHU menjaga imej sebagai seorang bakal pendidik membuatkan penyanyi, Aliff Iskandar memilih untuk lebih barhati-hati di media sosial.
Menurut penyanyi lagu Perit itu, dia mengakui video atau gambar berbentuk kontroversi mampu membuatkan seseorang itu menjadi popular dengan cepat.
"Tetapi kena tahu tindakan yang kita ambil itu sebenarnya memberikan keuntungan kepada diri sendiri ataupun tidak.
"Saya sendiri memang perlukan populariti tetapi dalam masa sama, saya perlu menjaga imej sebagai seorang bakal pendidik dan tempat saya menuntut ilmu sekarang.
"Jadi, lebih baik jika saya popularkan diri dengan karya saya sendiri berbanding memilih jalan mudah dengan mencipta kontroversi," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, Aliff kini masih lagi menuntut di Institut Perguruan Kampus Ilmu Khas, Cheras dalam jurusan Pendidikan Muzik.
Aliff merupakan top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 baru-baru ini.
Dia juga dicalonkan ke top 20 kategori BBNU Meletop sempena Anugerah Meletop Era 2021 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Dalam pada itu, bercerita lebih lanjut mengenai single baharunya itu, Aliff memberitahu lagu Takdir ciptaannya bersama Jaja Ishak itu akan menjadi lagu OST untuk drama Saat Ku Takluk Cinta Ini yang akan disiarkan di TV3 menerusi slot Samarinda bermula 20 Disember ini.
Ujar pemilik nama sebenar Nor Aliff Iskandar Norazmi itu, lagu tersebut adalah mengenai hubungan cinta yang tidak kesampaian.
"Apabila menulis lirik Takdir pada peringkat awal, saya membayangkan sebuah perhubungan. Adakah hubungan itu berakhir dengan kegembiraan atau pun sebaliknya.
"Semua orang mampu merecanakan hubungan apa yang mereka mahukan tetapi pada akhirnya takdir juga yang akan menentukan ke mana hubungan tersebut berjalan," jelasnya.
Takdir merupakan terbitan Jaja Ishak Channel dengan kerjasama Indigital Music dan Alternate Records. Lagu berkenaan sudah boleh didengari di semua platform digital dan MV TAKDIR boleh ditonton melalui Youtube Indigital Music mulai 9 Disember lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram