Kadar tumbesaran remaja Malaysia membimbangkan


  • Sihat
  • Isnin, 13 Dis 2021

KADAR pembantutan remaja Malaysia berusia 10 hingga 17 tahun pada paras 8.5 peratus atau satu daripada setiap 12 orang. — Gambar hiasan/Agensi

MUNGKIN ada ibu bapa yang mendapati anak remaja mereka lebih kecil atau rendah berbanding rakan sebaya. Jangan pandang remeh perkara itu kerana si anak mungkin mengalami masalah pertumbuhan linear yang boleh menyebabkan isu lebih besar iaitu pembantutan.

Walaupun kadar pembantutan dalam kalangan remaja Malaysia secara relatifnya rendah, langkah-langkah menangani harus diambil kerana hingga kini isu mengoptimumkan pertumbuhan anak masih belum diberi perhatian serius, kata pakar.

"Isu (kadar pembantutan) membimbangkan kerana tempoh remaja adalah peluang terakhir kita untuk memanfaatkan 'tempoh lonjakan tumbesaran'," kata Dr Thiyagar Nadarajaw, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Jelas beliau, pembantutan tidak hanya melibatkan ketinggian tetapi turut mencerminkan masalah lain dalam perkembangan si anak yang memerlukan pemantauan lebih rapi ibu bapa dan pengamal penjagaan kesihatan.

Ujarnya, memandangkan tempoh tumbesaran kanak-kanak adalah singkat, lazimnya dalam lingkungan usia 10 hingga 15 tahun amat penting untuk ibu bapa dan pengamal penjagaan kesihatan berganding bahu menangani masalah pembantutan sebelum terlewat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan pembantutan sebagai tumbesaran dan perkembangan terjejas yang dialami kanak-kanak akibat masalah pemakanan, jangkitan berulang dan rangsangan psikososial tidak mencukupi.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 menunjukkan kadar pembantutan remaja Malaysia pada 8.5 peratus atau satu daripada setiap 12 orang dalam kalangan berusia 10 hingga 17 tahun. Mereka juga didapati antara 6.0 dan 7.0 sentimeter (cm) lebih rendah berbanding rujukan ketinggian standard WHO.

Kajian terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ketinggian purata bagi remaja perempuan berusia 15 tahun ialah 155 cm sementara lelaki pula 162 cm, masih dalam lingkungan ketinggian normal.

Screenshot 2021-12-12 165139

FAKTOR pemakanan menyumbang kepada masalah tumbesaran. — Gambar hiasan/Agensi

Nadarajaw menjelaskan pembantutan dalam kalangan remaja amnya disebabkan oleh malnutrisi, iaitu kadar nutrien utama untuk tumbesaran yang diambil tidak mencukupi, seperti yang disarankan oleh Saranan Pengambilan Nutrien (RNI) Malaysia.

Tambahnya, turut memeranjatkan ialah data NHMS 2017 merekodkan 89.4 peratus anak remaja tidak mencapai RNI dari segi pengambilan kalsium, zat yang amat penting bagi pembentukan tulang mereka. Ini akan menjejaskan keupayaan tubuh untuk mencapai ketinggian optimum individu seiring pergerakan masa.

Data sama juga menunjukkan 70 peratus remaja Malaysia, sama ada pada kebanyakan masa atau sudah terbiasa tidak bersarapan, yang mana kata Nadarajaw bukan cara terbaik untuk memulakan hari mereka.

"Dianggap sebagai hidangan paling penting setiap hari, pengambilan sarapan berzat tinggi boleh menambah baik fungsi otak, mengawal berat badan dan memberikan tenaga yang mencukupi untuk anak-anak melakukan aktiviti pada hari itu,” katanya.

Menurutnya, antara sebab remaja tidak mengambil sarapan ialah terlambat bangun kerana berjaga hingga lewat malam bagi menyiapkan tugasan sekolah dan perlu bergegas ke kelas pada sebelah pagi.

Ada faktor-faktor lain yang jika diabaikan boleh membawa kepada pembantutan dalam kalangan remaja, antaranya ialah tabiat tidur yang tidak baik.

Jelas Nadarajaw, remaja mempunyai ritma sirkadian (kitaran 24 jam yang merupakan sebahagian daripada jam biologi tubuh) teranjak yang membuatkan mereka lewat tidur.

"Disebabkan hormon tumbesaran lazimnya dibebaskan ketika tidur, tabiat tidur yang tidak baik boleh menjejaskan tumbesaran sekiranya mereka tidak mendapat waktu tidur yang mencukupi, iaitu lapan hingga 10 jam setiap hari, jelas pakar perunding pediatrik dan perubatan remaja itu," ujar beliau.

Selain itu, Nadarajaw berkata, kesan pembantutan dikaji sejak sekian lama, dan antara impaknya ialah boleh menjejaskan perkembangan otak dan fungsi imuniti, selain meningkatkan risiko menghidap penyakit kronik pada usia dewasa.

Contohnya, kekurangan pengambilan kalsium ketika remaja boleh menjejaskan kualiti tulang, menyebabkan masalah osteoporosis berlaku lebih awal pada kemudian hari.

"Kanak-kanak yang tumbesarannya terbantut juga didapati menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan di sekolah,” tambah beliau lagi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram