Akaun Twitter PM digodam 'scammer' kripto


  • Benua
  • Ahad, 12 Dis 2021

AKAUN Twitter milik Modi digodam pada awal pagi Ahad.

AKAUN Twitter milik Perdana Menteri India, Narendra Modi sekali lagi digodam oleh golongan 'scammer' yang terlibat dalam pelaburan digital kripto.

Perkara itu disahkan selepas satu mesej disiarkan dalam akaun Twitter Modi yang menyatakan India telah meluluskan pelaburan bitcoin sebagai pelaburan sah dan mengedarkan mata wang kripto kepada rakyatnya.

"Kerajaan India telah membeli 500 bitcoin dan mengedarkannya kepada semua penduduk di negara ini," kata mesej tersebut.

Namun pengendali akaun itu segera memadamkan ciapan berkenaan daripada akaun @narendramodi.

Modi antara pemimpin paling aktif menggunakan Twitter dan mempunyai lebih 73 juta pengikut dalam akaun tersebut.

Pejabat Perdana Menteri berkata akaun itu digodam seketika tetapi berjaya dipulihkan semula oleh pihak Twitter.

Ini merupakan kali kedua akaun Twitter Modi digodam selepas kejadian yang sama berlaku pada tahun lalu apabila satu mesej dikeluarkan dengan gesaan kepada orang awam untuk menderma kepada satu tabung yayasan Covid-19 yang tidak wujud.

Pasaran kripto tempatan mendapat sambutan sejak Mahkamah Agung India membatalkan larangan terhadap pelaburan itu pada tahun lalu.

Namun pada bulan lepas, Modi berkata mata wang kripto akan menjejaskan masa depan golongan muda negara itu dan bank pusat berulang kali memberi amaran bentuk pelaburan itu akan menjejaskan kestabilan kewangan. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Narendra Modi, Twitter, godam, Kripto