SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya telah menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan.
SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya sebelum ini cuba menghubungi Lee Shan namun gagal sebelum dikesan berada di sekitar Kenyalang Park, Sarawak pada Ahad.
"Kita sudah menjelaskan kepada Lee Shan bahawa dia perlu hadir ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan berhubung klip video yang disebarkannya dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12."Selain itu, kita turut menyerahkan notis hadir pemeriksaan Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang-undang," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, Lee Shan juga telah memberi kerjasama dan telah menghadirkan diri ke pejabat SPRM Kuching pada pagi Ahad untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, SPRM menjelaskan pihaknya sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional semasa menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Terdahulu, Lee Shan dilaporkan mendakwa dia telah ditahan oleh pegawai SPRM ketika memandu melintasi Kenyalang Park selepas kenderaannya diarahkan berhenti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
