Suami isteri maut kemalangan di Perak, dua beradik yatim piatu sekelip mata


  • 112
  • Ahad, 12 Dis 2021

KEADAAN kereta pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, pada Sabtu. — Facebook

DUA beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas kedua-dua ibu bapa mereka terkorban dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Bagan Serai, petang Sabtu.

Dalam kejadian jam 3.20 petang itu, Muhammad Anas Awang, 32, yang bertugas di Markas Tentera Darat, Cawangan Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan (Kementah), Kuala Lumpur dan isterinya, Siti Hafissah Zamri, 34, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Mazda RX8 yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Taiping, Perak.

Beliau berkata, kenderaan mangsa yang berada di lorong kanan jalan dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.

"Seterusnya kenderaan itu merempuh sebuah kereta Perodua Kancil dan Muhammad Anas dikatakan tercampak keluar daripada kenderaan dipandunya.

"Akibat perlanggaran kuat itu, mangsa dan isterinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak mereka berusia enam dan lapan tahun serta pemandu dan penumpang Perodua Kancil tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan malam Sabtu.

Mazuki berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Parit Buntar dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram