Babak romantik gay, Jakim mohon MCMC buat siasatan lanjut


  • Primer
  • Selasa, 07 Dis 2021

TANGKAP layar sebahagian babak menunjukkan aksi romantik dua pelakon lelaki dalam satu siri drama yang sudah ditayangkan. β€” Facebook

PENGGUNA media sosial di negara ini dikejutkan dengan satu treler filem yang dikatakan berlatarbelakangkan cinta sesama jenis, hasil produksi filem tempatan.

Filem berjudul β€˜Stay Away From Me’ itu didakwa memaparkan adegan pelakon lelaki yang melakonkan babak romantik bersama pelakon lain sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Perkara itu turut dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang memaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan merujuk isu tersebut kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Susulan itu, Jakim pada Selasa telah merujuk perkara berkenaan kepada MCMC bagi memohon pihak berautoriti berkenaan mempertimbangkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Jakim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat memandang serius isu sedemikian dan sebarang isu lain yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.

"Jakim amat berharap kepada pihak-pihak terbabit agar sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini dan tidak bertindak di luar batas dan nilai ketimuran yang sejak sekian lama dibudayakan dengan aman dan harmoni.

"Dalam pada itu, Jakim juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut," katanya. β€” Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram