JPJ tawar 80 peratus diskaun saman sempena 100 Hari AKM 2021


  • Primer
  • Selasa, 07 Dis 2021

PESALAH lalu lintas yang disenarai hitam dikehendaki hadir sendiri di kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum boleh menikmati diskaun yang ditawarkan. — Gambar hiasan/The Star

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberi tawaran pengurangan pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua Notis Saman JPJ (yang boleh dikompaun).

JPJ dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, pengurangan itu tidak termasuk kes-kes yang masih dalam sebutan pihak mahkamah termasuk yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.

Menurut JPJ, pemberian diskaun itu adalah bersempena acara 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung pada 9 sehingga 12 Disember 2021 dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Kuala Lumpur.

"Kemudahan pengurangan saman kompaun yang berjumlah 80 peratus ini akan diberikan di semua Pejabat JPJ di seluruh negara untuk tempoh empat hari tersebut sahaja.

"Pengurangan kadar kompaun adalah diberikan kepada semua saman bagi kesalahan yang boleh dikompaun seperti disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003.

"Ia tidak termasuk kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah termasuk berstatus waran tangkap yang belum Dilepaskan Tanpa Dibebaskan (DNAA); di mana semua Notis Saman yang telah dikeluarkan adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa dalam sistem mySIKAP JPJ," katanya.

WhatsApp Image 2021-12-07 at 20.58.43

KENYATAAN media rasmi JPJ berhubung pengurangan pembayaran saman sempena 100 Hari AKM. — Ihsan JPJ

Sementara itu, JPJ memaklumkan, tawaran ini turut diberikan kepada semua Notis Saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat urusan pembayaran tersebut dilakukan dalam tempoh empat hari itu.

Katanya, pembayaran boleh dibuat di semua pejabat negeri, cawangan JPJ dan UTC JPJ di seluruh negara, kiosk JPJ serta secara dalam talian (online), melalui portal mySIKAP JPJ di https://public.jpj.gov.my/.

"Bagi pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, mereka dikehendaki untuk hadir sendiri di kaunter JPJ, bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.

"Ke arah itu, orang ramai adalah disarankan untuk membuat semakan status saman terlebih dahulu, terutama rekod yang melibatkan saman AES (melalui portal mySIKAP JPJ), atau di mana-mana Kaunter Pejabat JPJ, agar dapat mengambil peluang pengurangan saman ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram