Angkara nak ambil bola, budak lemas terjatuh paya di Marang


  • 112
  • Selasa, 07 Dis 2021

ANGGOTA polis mengangkat mayat Muhammad Syafiq yang ditemui lemas di dalam sebuah paya di Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang pada Selasa. — Gambar ihsan PDRM

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang sejak petang Isnin, ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam paya, berdekatan rumahnya, di Kampung Gong Beris, Mercang di Marang, Terengganu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Deris berkata, mayat mangsa Muhammad Syafiq Abdullah ditemukan penduduk kampung dalam keadaan terapung di sebuah paya, kira-kira 500 meter dari rumahnya pada 8 pagi Selasa.

Mangsa disedari hilang oleh ibunya pada 6 petang Isnin, ketika bangun tidur.

"Pada mulanya, ibu mangsa yang juga pengadu menyangkakan anaknya hanya keluar bermain di kawasan sekitar rumah seperti hari-hari biasa dan menunggu sehingga pukul 8 malam untuk anaknya pulang.

"Bagaimanapun selepas tempoh itu, mangsa tidak juga pulang. Dia yang berasa tidak sedap hati terus mengerah anggota keluarga serta meminta bantuan orang kampung mencari mangsa di kawasan paya, parit dan lombong," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Zain usaha pencarian mangsa oleh anggota pihak berkuasa dan penduduk kampung malam tadi gagal disebabkan suasana sekitar yang gelap dan tiada tanda-tanda mangsa dapat ditemukan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dengan soal keselamatan anak kecil dan tidak membiarkan mereka keluar bermain berseorangan terutama pada musim hujan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lemas, kanak-kanak, paya, marang, lombong