Luahan sedih guru di Cyberjaya, dakwa dikecam ibu bapa angkara pelajar positif Covid-19


  • Tular
  • Jumaat, 03 Dis 2021

SEBAHAGIAN pelajar SBP Seri Puteri menjalani ujian kendiri yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Daerah Sepang di sekolah terbabit. — Facebook

SEORANG guru di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya meluahkan rasa sedih dan kecewa rentetan kejadian penularan Covid-19 di sekolah berasrama penuh itu.

Menerusi luahan guru tersebut yang tular di WhatsApp, dia berkata, guru-guru adalah antara insan-insan yang paling ketat menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana mereka sedar mereka menggalas tanggung jawab menjaga anak orang di asrama.

Katanya, mereka adalah antara insan-insan yang paling susah hati apabila murid tidak dapat belajar.

Dia turut menzahirkan rasa risau terhadap masa depan murid sekolah itu lantaran melihatkan ada guru yang dimaki dan diugut oleh ibu bapa selain menerima tohmahan daripada golongan itu.

"Manakan tidak, akhlak ibu bapa terhadap guru melambangkan keberkatan ilmu yang diterima oleh anak-anak mereka. Keberkatan ilmu bukan terletak pada bilangan A yang diperolehi, tetapi lebih jauh daripada itu.

"Menjadi ‘orang’ kah mereka, bahagiakah mereka dengan ‘kejayaan’ yang diperolehi, berbaktikah mereka kelak kepada kedua ibu bapa mereka... Di situlah antara hasil keberkatan ilmu," katanya.

Guru itu juga mempersoalkan di mana letaknya kewarasan dan keimanan orang-orang ini yang terus menunding jari mencari kambing hitam.

"Apabila terjadi kes Covid-19 di suatu sekolah, ibu bapa terus menyalahkan guru dengan tuduhan tidak menjaga SOP," katanya.

Katanya, guru-guru adalah antara insan-insan yang paling ketat menjaga SOP kerana mereka sedar mereka menggalas tanggung jawab menjaga anak orang di asrama. Mereka adalah antara insan-insan yang paling susah hati apabila murid tidak dapat belajar.

WhatsApp Image 2021-12-03 at 21.58.10

TANGKAP layar sebahagian luahan hati seorang guru Sekolah Seri Puteri yang tular di aplikasi WhatsApp. — WhatsApp

"Mereka adalah antara insan-insan yang selalu mengkesampingkan anak sendiri demi kejayaan anak didik di sekolah. Hanya kerana guru kena Covid-19 tanpa disedarinya, terus guru itu ditohmah tidak menjaga SOP.

"Sedangkan sepanjang pemerhatian saya beliaulah yang paling ketat menjaga SOP, kerap menjalani ujian kendiri Covid-19, untuk memastikan keadaan selamat.

"Walaupun secara zahirnya guru ini orang kedua positif di sekolah, belum tentu dia yang memulakannya. Semua tahu bahawa wujudnya ‘pembawa’ virus yang tiada simptom," katanya.

Tegasnya, para guru berusaha menjaga SOP, ambil vaksin dan buat ujian kendiri, tetapi tidak sesekali melupai yang Maha Mengatur ialah ALLAH.

"Berapa ramai di luar sana yang dapat virus Covid-19 sedangkan mereka sangat berhati-hati. Ada ibu bapa yang tuduh Virus dibawa oleh guru yang tak jaga SOP. Ada jaminankah jika anda yang jaga SOP tidak membawa virus? Berhentilah menyebarkan fitnah.

"Saya rasa kasihan kepada sebahagian ibu bapa yang angkuh dan senang untuk mencemuh guru-guru.

"Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah berasrama jangan menganggap guru-guru seperti orang gaji, perlu duduk dalam sekolah dan jangan ke mana-mana," katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, arahan tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

"Kluster Covid-19 yang melibatkan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya ini dinamakan Kluster Persiaran Tasik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Noor Hisham berkata, sehingga Jumaat, seramai 973 warga sekolah telah disaring dan mendapati 135 kes baharu positif kes Covid-19 dalam kluster berkenaan, menjadikan keseluruhan kes Covid-19 dalam kluster tersebut ialah seramai 143 orang, terdiri daripada 114 murid, 19 guru dan 10 kakitangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Seri Puteri, Cyberjaya, guru, luahan, Covid-19, SBP,