Kluster tercetus lebih seminggu, Pengarah Kesihatan Selangor perjelas isu 73 pelajar positif di Cyberjaya


  • Primer
  • Khamis, 02 Dis 2021

SEBAHAGIAN pelajar SBP Seri Puteri menjalani ujian kendiri yang dilaksanakan PKD Sepang di sekolah terbabit. — Facebook

PENGARAH Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Sha'ri Ngadiman mengesahkan kejadian kluster Covid-19 di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Sepang sudah berlaku sejak 24 November lalu, iaitu lebih seminggu lepas.

Beliau menerusi satu kenyataan pada Khamis berkata, kluster tersebut diumumkan pada 29 November lalu sebagai Kluster Persiaran Tasik dengan membabitkan enam pelajar serta seorang guru.

VIDEO tular bas pelajar SBP Seri Puteri meninggalkan pekarangan sekolah menuju ke MAEPS, Serdang. — Facebook

"Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang pada 1 Disember 2021 menjalankan saringan kesihatan ke atas 240 orang yang akan dihantar pulang ke rumah. Hasil saringan mendapati 66 orang positif Covid-19.

"Mereka telah dirujuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu 2.0 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

"Proses saringan untuk kesemua pelajar akan dilakukan oleh PKD Sepang sehingga 3 Disember 2021. Kontak rapat akan dikuarantin di sekolah di bawah seliaan warden dan guru," katanya.

WhatsApp Image 2021-12-02 at 11.53.50

KENYATAAN media Pengarah Kesihatan Selangor.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di laman Twitter pada Khamis berkata, terdapat 73 kes positif Covid-19 di Sekolah Seri Puteri melibatkan dua guru dan 71 pelajar.

Khairy berkata, kesemua yang dikesan positif itu adalah hasil saringan yang dilakukan terhadap 451 individu di sekolah itu yang terdiri daripada 13 guru, 437 pelajar dan seorang petugas sekolah.

Menurutnya, 65 pelajar yang positif telah dipindah ke PKRC MAEPS.

"Semua mereka (65) adalah kategori 1 dan 2A, all stable (semua stabil),” katanya mengenai perkembangan kes Covid-19 di sekolah itu.

Pesakit Covid-19 kategori 1 merujuk kepada mereka yang tiada bergejala langsung, kategori 2A mempunyai simptom ringan dan kategori 2B adalah bergejala ringan yang teruk dan akan dimasukkan ke PKRC.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang meninjau situasi di sekolah itu malam Rabu memaklumkan seramai 65 pelajar tingkatan satu dan dua Sekolah Seri Puteri itu positif Covid-19 setakat Rabu.

Di laman sosial, rata-rata ibu bapa meluahkan rasa kesal atas kecuaian kes indeks kluster itu yang didakwa berpunca daripada seorang guru yang mendapat jangkitan di luar sekolah selepas menjadi kontak rapat pasangannya.

Selain itu, ada sebahagian ibu bapa berasa kecewa mendakwa mereka tidak dimaklumkan pihak sekolah secepat mungkin selepas kejadian penularan berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram