150 pelajar SSP Cyberjaya jadi kontak rapat dipindah ke IAB


  • Primer
  • Jumaat, 03 Dis 2021

SEBANYAK 139 kes positif Covid-19 melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya disahkan setakat ini. — Bernama

SERAMAI 150 pelajar tingkatan lima Sekolah Seri Puteri (SSP) Cyberjaya yang menjadi kontak rapat kepada pelajar sekolah berkenaan yang positif Covid-19 dipindahkan ke Institut Aminuddin Baki (IAB), Bandar Enstek, dekat Seremban, Negeri Sembilan, pada malam Khamis.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia bagi memastikan pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat oleh pasukan perubatan dalam sebuah pusat kuarantin dengan setiap bilik menempatkan dua pelajar.

“Sebentar tadi saya ke IAB di Bandar Enstek, Negeri Sembilan bagi meninjau persediaan pusat kuarantin ini menerima kemasukan murid yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 di SSP.

"Insya-Allah murid lain juga akan terus dipantau di sekolah dan sebarang perkembangan lanjut kita akan maklumkan kepada ibu bapa secepat mungkin, Alhamdulillah di sini (IAB) disediakan dengan baik dan selesa bagi memastikan anak-anak yang dikuarantin berada dalam keadaan kondusif,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik ke Facebooknya malam Khamis.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam memastikan pemantauan dibuat dengan lancar dan baik termasuk sokongan dan dukungan ibu bapa.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, sebanyak 139 kes positif Covid-19 melibatkan 114 pelajar, 15 guru dan 10 petugas di Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

pelajar, IAB, kontak rapat, Covid-19