NEGARA kembali cemas apabila varian terbaharu Covid-19 yang diberi nama Omicron mula muncul dengan satu kes di Ipoh, Perak pada Jumaat.
Pakar perubatan, Dr. Fathul Farisan berkata, virus Covid-19 tidak akan berhenti bermutasi kerana itu adalah sifat semula jadi virus.
"Sebab itulah perancangan ramai pihak, khususnya pihak pembuat polisi yang menganggap bahawa Covid-19 ini ialah krisis sepintas lalu adalah salah sama sekali.
"Kita sekarang sedang berhadapan dengan krisis kesihatan paling getir.
"Untuk melihat kehidupan kembali seperti sebelum pandemik Covid-19 adalah sangat sukar dan akan mengambil masa yang lama," katanya.
Menurut Fathul Farisan, isunya ialah bagaimana hendak hidup bersama Covid-19 dalam norma baharu.
"Adakah setiap kali muncul varian baharu, maka setiap kali itulah kita gelabah dan mencari-cari prosedur operasi standard (SOP)?" katanya.
STATUS terkini Dr Fathul di Facebook
Dalam pada itu, Dr Fathul juga mendakwa, varian Omicron sebenarnya sudah tersebar ke seluruh dunia dan bukan hanya berada di Afrika.
"Ia kerana Afrika memang ramai pakar penyakit berjangkit, pakar epidimiologi, sebab sebelum Covid-19 pun mereka memang berperang dengan pelbagai penyakit.
"Varian Omicron sudah tersebar ke seluruh dunia dan hanya 'dikantoikan' di Afrika oleh para penyelidik," dakwanya.
Menurut Fathul, perkara sama berlaku melibatkan virus Spanish Flu dan ia bukan berasal dari Sepanyol.
Tetapi, jelasnya, disebabkan Sepanyol tidak ikut berperang (neutral) ketika Perang Dunia 1, maka saintis di Sepanyol menggunakan masa dan kepakaran mereka untuk mengkaji penyakit berjangkit dan menemui Spanish Flu yang sudah lama menjangkiti askar-askar negara lain yang berperang.
"Sekarang ini sudah ada kes-kes varian Omicron dilaporkan di seluruh dunia di negara seperti UK, Australia dan tidak pelik pun kalau sudah ada di Malaysia.
"Jadi, keputusan sekatan perjalanan untuk negara Afrika sahaja adalah aneh," katanya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Jumaat mengesahkan negara telah melaporkan kes pertama Covid-19 varian Omicron melibatkan seorang pelajar warga asing di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.
Menurut Khairy, pelajar berusia 19 tahun itu tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November 2021 dan telah menjalani ujian RT-PCR Covid-19 sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
"Satu daripada sampel ujian PCR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron.
"Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varian Omicron pada 2 Disember 2021 (Khamis)," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram