Gaji rendah antara punca doktor kerajaan letak jawatan, kata persatuan


  • Massa
  • Jumaat, 03 Dis 2021

SEKUMPULAN doktor kontrak Hospital Kuala Lumpur melakukan mogok pada 26 Julai lalu. — AZHAR MAHFOF/The Star

GAJI rendah, suasana kerja yang tidak kondusif serta masalah kontrak menjadi punca ramai doktor di sektor kerajaan meletak jawatan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, isu tersebut sudah lama berlaku, tetapi masih tidak mempunyai jalan penyelesaian hingga ke hari ini.

"Ramai yang mencari peluang yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi di luar sektor kerajaan. Selain itu, doktor yang bertugas di hospital kerajaan mempunyai bebanan kerja yang tinggi dan syif yang tidak menentu.

"Ada juga yang dipindahkan tempat kerja yang jauh daripada keluarga mereka, menyebabkan mereka rindukan keluarga dan mengambil keputusan untuk berhenti.

"Bagi doktor kontrak pula, mereka memilih untuk mengintai peluang di luar negara kerana merasakan tiada masa depan di sini," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang memberitahu Dewan Rakyat bahawa lebih 1,700 doktor kerajaan berhenti kerja sepanjang empat tahun lalu.

Beliau berkata, antara alasan yang diberikan oleh mereka yang berhenti adalah mahu melanjutkan pelajaran dan mahu membuka klinik persendirian, selain mahu berkhidmat di luar negara.

Sementara itu, Zainal Ariffin berkata, perkara yang lebih menyedihkan ialah jika ramai yang berhenti dalam kalangan mereka yang sudah lama berkhidmat dan terlatih, kerana pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa melatih semula doktor-doktor baharu bagi menggantikan mereka yang sudah meletak jawatan.

Oleh itu, katanya, kerajaan harus memandang serius jumlah ini kerana ia boleh memberi kesan yang besar terhadap sektor perubatan kerajaan dan juga keseluruhan sistem kesihatan negara, lebih-lebih lagi ketika zaman Covid-19 ini.

Tegasnya, kerajaan harus mengatasi isu ini dengan segera jika tidak mahu trend ini semakin berlarutan.

Katanya, antara perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah menyediakan suasana kerja yang baik kepada doktor-doktor di bawah KKM dari segi penempatan kerja, bebanan dan syif bekerja.

"Selain itu, mereka juga harus diberi peluang untuk kenaikan pangkat dan juga untuk menyambung pelajaran bagi menjadi doktor pakar.

"Bagi doktor kontrak pula, kerajaan tiada pilihan lain selain menyerap mereka ke lantikan tetap," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram