SEMUA pengembara yang tiba di Korea Selatan termasuk warganegara dan warga asing perlu menjalani kuarantin selama 10 hari tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Peraturan baru itu diumumkan oleh Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) pada Rabu dan akan berkuatkuasa pada Jumaat ini.
Portal Channel News Asia (CNA) melaporkan, rakyat Korea Selatan dan warga asing yang tinggal dalam tempoh jangka panjang akan dibenarkan untuk kuarantin di rumah, manakala warga asing yang tinggal dalam tempoh singkat perlu dikuarantin di kemudahan sementara yang ditetapkan kerajaan.
Semua pengembara luar negara yang datang ke Korea Selatan juga akan diuji untuk varian Omicron.
"Ini berlaku apabila Korea Selatan pada hari Rabu melaporkan lima kes varian Omicron.
"Sepasang suami isteri yang divaksin sepenuhnya disahkan positif untuk varian itu selepas tiba minggu lalu dari Nigeria, diikuti oleh dua ahli keluarga dan seorang rakan mereka," kata KDCA.
Singapura dan Korea Selatan melancarkan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara kedua-dua negara pada 15 November lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram