Media sosial bukan penyebab utama 'pencemaran' bahasa, kata ahli akademik


  • Massa
  • Selasa, 30 Nov 2021

SISTEM pendidikan merupakan cabang utama untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu di negara ini. — Gambar hiasan/The Star

MEDIA sosial bukan penyebab utama rakyat negara ini kerap mencampur adukkan Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian, kata pakar akademik.

Menurut Pensyarah Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dato’ Dr Ahmad Murad Merican, media sosial hakikatnya adalah kesinambungan daripada pertuturan dan komunikasi seseorang.

"Sebelum media sosial wujud, dalam pertuturan rakyat sejak berpuluh tahun lalu, terutamanya golongan Melayu yang tinggal di kawasan bandar serta menerima pendidikan Inggeris, mereka kerap mencampur adukkan Bahasa Melayu dan Inggeris.

"Kita mesti jelas dalam hal ini. Budaya media sosial bukan wujud dengan sendirinya tetapi kesinambungan bagaimana kita bertutur dan berkomunikasi.

"Apabila seseorang bercakap, kita mendengar. Penulisan dalam media sosial ini ditularkan. Maka, kita ambil apa yang kita lihat sebagai masalah. Sedangkan fenomena ini berlaku dalam pertuturan seharian rakyat berdekad lamanya," ujarnya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, seorang pendidik Bahasa Melayu, Mohd Norazizi Samsudain berkata, sistem pendidikan di negara ini khususnya di peringkat institut pengajian tinggi (IPT) tidak menekankan sangat penyampaian sesuatu maklumat dalam Bahasa Melayu dan lebih mengutamakan Bahasa Inggeris.

"Saya lihat banyak bahan rujukan dikeluarkan dalam Bahasa Inggeris, sedangkan penguasaan bahasa Inggeris terutamanya dalam kalangan pelajar IPT tidak berapa bagus, sebab itu mereka sedikit keliru dan merupakan salah satu pengaruh dalam soal ini.

"Kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam mengatasi isu tersebut di peringkat pendidikan kerana dasarnya sudah ada tapi pelaksanaannya masih lemah.

"Kita perlu malu dengan negara-negara maju seperti Jepun, China atau Korea Selatan yang memajukan bahasa ibunda mereka sendiri. Kita ini seperti menangguk di air yang keruh, kononnya nak memajukan sesebuah sektor menerusi penekanan Bahasa Inggeris," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram