SEMALAM, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri tampil tampil dengan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021–2030 sebagai langkah untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Perkara itu mendapat respon yang baik daripada pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai yang bersetuju dengan pelan tersebut.
Menurut beliau, perpaduan antara kaum di dalam negara perlu kekal utuh untuk mengembangkan ekonomi apatah lagi kesemuanya saling memerlukan satu sama lain.
"Jika setiap kaum ada agenda dan mempunyai prasangka terhadap satu sama lain, sudah tentu perakara ini boleh menjejaskan struktur ekonomi.
"Sebagai contoh, negara pernah mengalami krisis perkauman pada 1969 dan perkara itu ternyata menimbulkan kerisauan kepada warga asing.
"Bila pelabur lari, maka sektor ekonomi bagi sesebuah negara itu akan menguncup dan menimbulkan pelbagai masalah lain," katanya.
Ismail Sabri pada Ahad memberitahu pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 adalah usaha untuk mengembalikan semula impian asal mengenai perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.
Jelasnya, pelan berkenaan dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi, di samping mampu memanfaatkan Keluarga Malaysia, iaitu merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.
Dalam pada itu, Barjoyai turut memberikan satu contoh krisis kewangan yang berlaku di Rwanda pada sekitar tahun 90-an yang berpunca akibat perselisihan kaum.
"Apa yang berlaku di Rwanda adalah pergaduhan antara dua kaum yang akhirnya menyaksikan lebih 1.2 juta orang kaya dibunuh.
"Yang tinggal hanyalah orang miskin sahaja. Kesannya, begitu ramai pelabur asing yang lari dan negara tersebut diboikot selama beberapa tahun," katanya.
Namun, akhirnya kedua-dua kaum yang bertelagah mencapai kata sepakat untuk bersatu kembali dan kini, Rwanda muncul sebagai negara yang paling maju di Afrika.
Tambahnya, perubahan yang drastik daripada negara termiskin ke negara yang terkaya adalah hasil daripada perpaduan kaum di negara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram