Ganjaran 'terlalu manis' antara punca ahli politik enggan letak jawatan


  • Massa
  • Selasa, 30 Nov 2021

BN memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN dalam PRN Melaka pada 20 November lalu. — The Star

GANJARAN terlalu manis antara punca ahli politik yang kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini enggan melepaskan jawatan dalam parti, kata penganalisis politik.

Prof. Madya Dr Jeniri Amir mendakwa, ahli politik terbabit juga mahu terus menikmati kedudukan dalam parti, yang mana mereka mempunyai kuasa untuk menentukan banyak perkara.

Tambahan pula, katanya, kelebihan akan diberi kepada ahli politik yang mempunyai kedudukan dan jawatan dalam kerajaan dan sebagainya.

"Kedudukan dalam parti khususnya pengerusi di peringkat negeri dan sebagainya akan diberi tempat (keistimewaan).

"Jadi, mereka tak bersedia melepaskan kedudukan dan jawatan itu demi kuasa dan nikmat serta ganjaran yang mengiringinya," katanya kepada Majoriti.

C116F1C1-E7F0-44B2-BDB3-B85C9497C050

Jeniri Amir mengulas tentang sikap ahli politik yang enggan lepaskan kuasa.

Mengulas lanjut, Jeniri Amir berkata, sebahagian pemimpin di Malaysia enggan melepaskan jawatan dalam parti selepas kekalahan pada pilihan raya disebabkan mereka terjebak dalam prinsip atau fenomena penafian.

Menerusi fenomena itu, beliau berkata, mereka menafikan sesuatu yang berlaku bukan berpunca daripada diri mereka, sebaliknya lebih kepada faktor lain atau menyalahkan orang lain.

"Oleh itu, mereka menganggap kekalahan dalam pilihan raya itu bukan disebabkan oleh diri sendiri atau pun parti mereka," katanya.

Terdahulu, sehari selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada pada PRN Melaka pada 26 November lalu, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Tey Kok Kiew meletakkan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri serta-merta.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mengikut jejak langkah Kok Kiew lima hari kemudian, apabila mengumumkan meletak jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram