BN, Umno takut kalah jika lambatkan PRU15, kata pakar


  • Politik
  • Isnin, 29 Nov 2021

BN berpendapat, PRU15 perlu diadakan awal dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang memihak kepada gabungan parti itu. — The Star

DESAKAN Barisan Nasional (BN) supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat mendapat respons daripada beberapa pihak.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, PRU15 perlu diadakan awal dengan mengambil kira sentimen rakyat ketika ini yang memihak kepada BN.

Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

Membantah perkara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyifatkan, desakan itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, keputusan untuk mengadakan PRU15 perlu dilihat berdasarkan perkembangan kes positif Covid-19 yang membimbangkan dan peningkatan kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital, serta kemunculan varian baharu, B.1.1.529 di negara Afrika.

"Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mana pendirian Kementerian Kesihatan bahawa PRU boleh dielakkan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang tidak dapat dielakkan kerana tempoh pentadbiran sudah tamat.

"Bagi PRN Melaka pula, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, maka ia tidak dapat dielakkan," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, pakar politik Profesor Dr Ahmad Atory Hussain tidak menolak kemungkinan desakan untuk mengadakan PRU15 lebih awal berpunca daripada masalah perangai 'orang politik'.

Beliau berkata, desakan itu juga adalah kesan daripada PRN Melaka baru-baru ini, yang mana BN dan Umno menganggap bahawa ini adalah masa sesuai untuk mereka mendapat kembali mandat daripada rakyat.

Katanya, parti itu juga menganggap PRN Melaka adalah satu indikator yang baik atau cerminan kepada keputusan PRU15.

"Jadi, kalau (PRU15) diadakan lambat, peluang untuk BN menang agak tipis," katanya kepada Majoriti.

e298fb4eb7c0abb0ec018292b1bea3c8

Ahmad Atory berkata, BN menganggap PRN Melaka adalah satu ukuran baik kepada PRU15. — MalaysiaKini

Tambahnya, kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN) turut menganggap mereka masih lagi mempunyai keupayaan untuk mentadbir negara sehingga cukup masa pada tahun hadapan.

Dari sudut lain, jelasnya, terdapat segelintir pihak dalam BN dan PN yang berbahagi pendapat untuk mempercepat PRU15, manakala ada yang tidak mengambil kisah sama ada ia diadakan cepat atau lambat.

"Namun, kebanyakan ahli politik mahu mengadakan PRU15 lebih cepat untuk menukar kerajaan, kerana pembangkang menganggap kerajaan ketika ini tidak cekap disebabkan tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram