"SAYA agak tua sekarang, sebenarnya bukan ‘agak’, saya dah tua," kata veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang memberi bayangan bahawa dia mahu berundur daripada arena politik.
Beliau juga sebelum ini tidak menolak untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Memetik daripada laporan FMT, Ahli Parlimen Gua Musang itu memaklumkan bahawa beliau mahu menamatkan kerjaya politiknya usianya yang semakin meningkat.
"Bagaimanapun keputusan itu tetap bergantung kepada pimpinan tertinggi parti.
Sudah banyak kali cakap perkara ini, dua pilihan raya lalu (PRU-13 dan PRU-14) saya juga cakap jangan pilih saya," katanya.
Tambahnya lagi, sekiranya beliau menarik diri, kawasan Parlimen (Gua Musang) mungkin tidak lagi menjadi kerusi selamat.
Jelasnya, perkara itu yang menjadi alasan beliau perlu bertanding pada dua PRU lepas.
Sementara itu, Ku Li tidak menolak ramai individu lain yang berkemungkinan berebut untuk bertanding di kerusi Parlimen Gua Musang.
Ia berikutan Parlimen itu dianggap sebagai kerusi selamat buat Umno.
"Tiada mana-mana kerusi Parlimen yang boleh dianggap selamat termasuk kerusi Parlimen Gua Musang itu yang hanya boleh dilihat selamat untuk Umno atas beberapa faktor.
“Antaranya kerusi itu mempunyai orang berpengaruh, strategi boleh diterima dan dilaksanakan, serta anda mempunyai sokongan kukuh untuk meningkatkan undi anda pada PRU," jelasnya.
Ku Li mula menjadi wakil rakyat pada tahun 1969 di kerusi Dewan Undangan Negeri Ulu Kelantan Barat.
Pada 1974, beliau memenangi kerusi Parlimen Ulu Kelantan, yang kemudiannya dinamakan sebagai Gua Musang dan menjadi wakil rakyat di Parlimen itu selama 11 penggal sehingga kini.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram