Kes Covid-19 turun lagi, catat 4,087 jangkitan baharu


  • Primer
  • Isnin, 29 Nov 2021

SEBANYAK 4,087 kes baharu dicatatkan pada Isnin. — Gambar hiasan
NEGARA mencatatkan kes Covid-19 terendah dalam tempoh tiga minggu dengan sebanyak 4,087 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari, Isnin.

Untuk rekod, kes terendah yang dicatatkan negara ialah pada 7 November lalu iaitu 4,343 kes yang merupakan jumlah terendah dalam tempoh enam bulan lepas.

Trend penurunan mula dilihat sejak beberapa hari lepas dengan kes dicatat pada paras 5,000 iaitu 5,501 kes (26 November) diikuti 5,097 kes (27 November) dan 4,239 kes (28 November).

Pada masa sama, perkembangan kes sembuh turut memberangsangkan apabila mengatasi kes baharu, iaitu berjumlah 4,984 kes.

Berhubung kes baharu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 4,087 yang dicatatkan, 72 kes atau 1.8 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima, sementara 4,015 kes lagi atau 98.2 peratus adalah dalam kategori satu dan dua.

"Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman web Covidnow di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, Noor Hisham menggariskan penjagaan kesihatan ketika bencana banjir dan pandemik Covid-19 dengan amalan norma baharu perlu dipraktikkan sepanjang masa daripada proses menyelamat dan memindahkan mangsa sehinggalah mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Mangsa banjir akan disaring terlebih dahulu untuk sebarang gejala dan faktor risiko Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke PPS. Mangsa yang bergejala akan diwajibkan untuk melakukan saringan bagi mengelakkan berlakunya kejadian kluster dalam kalangan mangsa banjir di PPS,” katanya.

Jelasnya, kes positif Covid-19 akan diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau PPS Khas atau dirujuk ke hospital mengikut keperluan manakala kontak rapat akan dikuarantin di PPS Khas atau PPS yang sama tetapi berlainan blok.

Beliau berkata, mangsa bergejala tetapi negatif ujian saringan Covid-19 perlu dikuarantin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram