'Tulisan Jawi hilang kerana pemimpin Melayu sendiri'


TULISAN jawi hanya diajar di peringkat sekolah namun tidak digunakan secara meluas di negara ini. — Gambar hiasan

PENGGUNAAN tulisan Jawi dalam kalangan kaum Melayu pada masa kini begitu rendah dan seolah-olah dilupakan.

Meskipun pembelajaran tulisan Jawi diteruskan di peringkat sekolah, namun ia tidak digunakan secara menyeluruh untuk sebarang urusan di negara ini.

Menurut pakar pendidikan Dr Anuar Ahmad dalam satu hantaran di Facebook, tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bahasa Melayu dan digunakan dalam semua urusan rasmi negara sejak ratusan tahun lalu.

"Segala urusan dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka, Perjanjian Pangkor dan pajakan Pulau Pinang serta Singapura sehinggalah ke dokumen Pengisytiharan Kemerdekaan, Perjanjian Persekutuan dan sebagainya.

"Selepas negara ini diperintah sendiri oleh orang Melayu, pada tahun 1966, bekas Menteri Pendidikan, Khir Johari dengan persetujuan jemaah Kabinet ketika itu telah mengambil keputusan untuk memansuhkan tulisan Jawi di dalam sistem pendidikan negara.

"Keputusan memansuhkan tulisan jawi di dalam sistem pendidikan negara juga telah dikukuhkan lagi dengan pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang memperakukan bahawa tulisan Rumi sebagai tulisan untuk Bahasa Melayu.

"Keputusan memansuhkan tulisan Jawi di dalam sistem pendidikan negara bertujuan untuk 'memudahkan' orang bukan Melayu menguasai Bahasa Melayu dalam tulisan Rumi. Akhirnya tulisan Jawi dipinggirkan dari sistem pendidikan negara," ujarnya menerusi hantaran di Facebook.

Netz 291121

ANTARA komen warganet di Facebook. — Facebook Anuar Ahmad

Tambah Anuar, tulisan Jawi hilang disebabkan oleh kesilapan para pemimpin Melayu sendiri dan bukannya tindakan penjajah.

"Ini satu pengajaran. Jangan selalu sangat menuding jari pada orang lain bila orang Melayu ketinggalan, lemah atau miskin. Banyak puncanya dari tangan-tangan orang Melayu sendiri," tegasnya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram