Penyebar wabak JE, nyamuk culex boleh biak tempat kotor, bersih — Pakar


  • Massa
  • Isnin, 29 Nov 2021

NYAMUK culex boleh membiak di kawasan air bertakung yang bersih dan juga kotor.— Gambar fail/The Star

BARU-BARU ini Jabatan Kesihatan Kedah telah mengisytiharkan wabak Japanese Encephalitis (JE) di daerah Kota Setar, Kedah selepas mengesan dua kes jangkitan penyakit tersebut pada November 2021.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo memaklumkan, kes pertama dilaporkan pada 18 November dan diikuti kes kedua pula pada 25 November dengan kedua-dua mangsa meninggal dunia.

"Sehingga Khamis lalu, jumlah kumulatif kes JE yang dilaporkan di Kedah pada tahun ini adalah 10 kes berbanding 8 kes pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan 25 peratus.

"Tiga daripada 10 kes meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Malina Osman menasihatkan agar rakyat mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kawasan persekitaran bebas daripada air yang bertakung untuk mengelakkan risiko daripada adanya pembiakan nyamuk.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar penduduk setempat untuk menggunakan repelan bagi mengelakkan daripada gigitan nyamuk culex.

"Wabak JE disebarkan melalui gigitan nyamuk culex yang banyak didapati di persekitaran dan ia juga menyerang haiwan mamalia. Jadi orang ramai dinasihatkan agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan persekitaran dan memastikan tiada air yang bertakung terutama sekali di tempat pembuangan sampah.

"Kadang-kadang kita tak ambil peduli sangat tentang tempat pembuangan sampah, air kotor yang berada di kawasan tersebut mempunyai potensi untuk pembiakan nyamuk culex.

"Wabak JE juga boleh dicegah dengan pemberian vaksin, tetapi ia bergantung juga kepada perlaksanaan polisi pada waktu ini.

"Sebagai contoh, penduduk di Sarawak yang menetap berhampiran dengan kawasan penternakan Khinzir diberikan vaksin sebagai langkah untuk mencegah daripada jangkitan wabak tersebut. Jika Jabatan Kesihatan Negeri Kedah ada peruntukan, mungkin ia boleh dilaksanakan," katanya kepada Majoriti.

Menurut Malina, sebarang kes bekenaan penyakit berjangkit perlu diberikan perhatian yang serius supaya langkah pencegahan dapat diambil dengan segera bagi mengurangkan risiko penularan.

Tambahnya lagi, dia tidak pasti sama ada situasi pengisytiharaan wabak JE membimbangkan atau tidak kerana perkara itu bergantung kepada data yang diperolehi pada masa kini.

"Jika selama ini belum lagi dikesan, dengan adanya kes baharu ini maka langkah pencegahan harus diambil untuk menghalang daripada wabak JE merebak.

"Kalau pihak berkuasa mengambil tindakan segara seperti mana yang sedang dijalankan oleh JKNK sekarang ini, insya-ALLAH ia tidak akan mengundang kepada penularan yang lebih besar," jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram