Lelaki loghat utara perli penduduk bina struktur 'parking' berbumbung


  • Tular
  • Ahad, 28 Nov 2021

TANGKAP layar binaan berbumbung yang dibina di atas kawasan letak kenderaan di sebuah rumah pangsa.

ISU rumah pangsa dan 'cop' tempat letak kenderaan bukanlah sesuatu yang baharu. Hampir saban tahun ia menjadi isu dalam kalangan penduduk rumah pangsa atau flat.

Ada yang meletakkan kon, tong air dan sebagainya semata-mata untuk mengelakkan kawasan tersebut diambil orang lain walaupun hakikatnya lokasi itu adalah milik semua penduduk melainkan sesetengah pengurusan yang telah menetapkan tempat letak kereta mengikut unit rumah masing-masing.

Angkara bengang dengan sikap pentingkan diri segelintir penduduk, seorang pengguna media sosial mengambil langkah berani menyebarkan video tentang isu itu yang berlaku di sebuah kawasan rumah pangsa.

Pengguna media sosial yang menggunakan akaun Facebook Pos Cod itu memaparkan video lokasi tempat letak kereta yang dibina struktur berbumbung oleh penghuni rumah pangsa tersebut.

Dengan nada loghat utara, lelaki berkenaan memerli tindakan penduduk yang membina struktur tesebut.

"Parking sendiri, macam depa (mereka) punya pula.Rumah pangsa oi, nak parking sendiri, beli rumah teres lah," katanya tanpa mendedahkan lokasi rumah pangsa itu.

Menerusi ruangan komen, ada yang meminta supaya penduduk di situ membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan.

Untitled

Antara komen yang ditinggalkan di video tersebut.

Ada juga yang menyatakan bahawa berkemungkinan pemilik rumah berkenaan telah membayar sewa tempat letak kenderaan itu.

Namun seeloknya, sebarang pembinaan tambahan yang dibuat secara sesuka hati apatah lagi di kawasan yang dikongsi bersama adalah sesuatu yang sensitif dan memerlukan pertimbangan secara kolektif.

Berkemungkinan ada yang tidak kisah tetapi ada juga yang mungkin berkecil hati kerana dibuat sesuka hati tanpa kebenaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Tular, Rumah Pangsa, Parking, Bumbung, Rumah Teres