Kestabilan Liverpool kunci prestasi terbaik musim ini — Klopp


  • Podium
  • Ahad, 28 Nov 2021

KLOPP menyatakan bahawa Jota membuat keputusan bijak untuk menyertai Liverpool. — Agensi

KESTABILAN yang dimiliki dalam pasukan merupakan kunci kepada prestasi memberangsangkan Liverpool musim ini, kata pengurusnya, Jurgen Klopp.

Perkara itu dinyatakan Klopp selepas The Reds mempamer kemenangan besar membelasah Southampton 4-0.

Ia sekali gus menjadikan Liverpool berjaya menghasilkan 10 gol tanpa balas dalam seminggu di Anfield.

"Liverpool juga kembali mendapat rentak selepas beberapa pemain utama kembali daripada kecederaan selain prestasi yang memberangsangkan ditampilkan penyerang, Mohamed Salah dan Sadio Mane pada pra-musim.

“Ia tidak begitu mudah untuk bermain apabila anda kehilangan pemain seperti yang berlaku kepada kami musim lalu," katanya.

Tambahnya, kini dia tahu bahawa pasukannya kurang kestabilan kerana tidak mempunyai pertahanan tengah buat seketika.

Katanya, dia perlu mencari jalan penyelesaian untuk kekurangan itu.

“Kami perlu berusaha untuk menjadi stabil dan serius selain memperkukuhkan pertahanan.

"Ia merupakan salah satu cara supaya kami dapat satu platform untuk bermain bola sepak dengan lebih baik dan kemudian menjaringkan gol,” ujarnya

Klopp turut memuji aksi yang ditampilkan Diogo Jota apabila berjaya mencetak dua gol termasuk jaringan pantas yang dilakukan oleh pemain Portugal tersebut.

Ujar pengurus asal Jerman itu, Jota membuat keputusan bijak untuk menyertai Liverpool meskipun dia mengetahui perlu menghadapi cabaran untuk memecahkan barisan tiga penyerang Liverpool yang sudah mantap.

“Jota adalah pemain yang luar biasa. Dia menandatangani kontrak bersama kami satu setengah tahun lalu dan dia adalah pemain yang sempurna kerana dia mempunyai segala-galanya yang diperlukan Liverpool.

"Dia mempunyai kemahiran teknikal,fizikal dan dia sangat pintar serta boleh mempelajari semua perkara taktikal dengan cepat, jelasnya.

Katanya lagi, Jota juga boleh bermain di tiga posisi depan dan peranan sebagai pemain No 10.

"Dia mempunyai kepantasan dan keinginan untuk menyelesaikan segalanya. Rekod jaringannya juga cukup baik.

“Malangnya dia mengalami kecederaan besar tahun lalu namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk beraksi dengan lebih baik. Saya sangat gembira dengan prestasinya,” tambahnya lagi. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram