Ancaman varian Omicron, Israel lokasi pertama tutup pintu sempadan


  • Benua
  • Ahad, 28 Nov 2021

PINTU sempadan Israel akan ditutup selama dua minggu

ISRAEL menjadi lokasi pertama yang menyekat semua pintu masuk bagi mengelak penyebaran varian terbaharu Covid-19 yang dikenali sebagai Omicron.

Difahamkan, larangan tersebut berkuatkuasa selepas varian tersebut dikesan tersebar menerusi warga Afrika yang masuk sebagai pelawat.

Perdana Menteri, Naftali Bennett dalam satu kenyataan berkata, Israel akan menggunakan teknologi counter-terrorism phone tracking untuk mengesan dan menghalang penyebaran varian Omicron.

Menurut Naftali, pintu masuk ke Israel akan ditutup selama 14 hari dan berharap supaya maklumat lanjut berkenaan varian Omicron dapat diketahui dengan lebih mendalam.

"Hipotesis kami, varian tersebut sudah ada di hampir setiap negara. vaksin memang efektif, tetapi kami belum tahu sejauh mana kemampuannya untuk mengekang varian Omicron," kata Menteri Dalam Negeri, Ayelet Shaked.

Dalam pada itu, Bennett turut memaklumkan semua warganya yang mahu masuk ke Israel perlu divaksin dan diminta untuk menjalani kuarantin terlebih dahulu.

Setakat ini, varian terbaharu Covid-19 itu dikesan telah berada di Israel tetapi hanya melibatkan satu kes sahaja dan tujuh kes berkemungkinan.

Selain Israel, dua kes varian Omicron juga dikesan di Britain yang disyaki berpunca daripada mereka yang hadir dari Afrika Selatan.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson juga telah mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di premis kedai dan pengangkutan awam bermula minggu depan.

Selain itu, semua yang mempunyai kontak rapat dengan varian Omicron juga perlu melakukan kuarantin kendiri manakala pelawat antarabangsa juga perlu menjalani kuarantin sehingga mereka disahkan negatif. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram