Terperanjat Axia tiba-tiba meletup, terbakar tepi pusat beli-belah di Ipoh


  • Tular
  • Sabtu, 27 Nov 2021

OPERASI memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 7.55 malam. — Facebook

KERETA Perodua Axia yang tiba-tiba meletup lalu hangus terbakar mengakibatkan pengunjung di pusat beli-belah AEON Kinta City, Ipoh Perak menjadi cemas pada Jumaat.

Hantaran dari laman media sosial Facebook Peraktastic itu menunjukkan kenderaan Axia itu hangus terbakar.

Mangsa, Mohammad Aezzat Farkhan Medzium, 27, berkata, ada kemungkinan punca kebakaran disebabkan litar pintas, namun dia masih menunggu hasil siasatan lanjut pihak berkuasa.

RAKAMAN ketika kereta Axia itu terbakar.

Aezzat yang juga pelajar Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berkata, sebelum kejadian itu, dia baru nak memulakan perjalanan mengambil adiknya yang berada di tempat kerja namun niatnya tidak kesampaian angkara insiden itu.

"Baru sampai parking, saya pun masih dalam kereta lagi. Tahu-tahu dah ada api dan asap dari bonet depan kereta.

"Saya pun terus keluar dan telefon 999," katanya kepada Majoriti.

Aezzat turut menasihatkan orang ramai supaya menyediakan alat pemadam kebakaran dalam kereta sebagai persediaan awal jika berlaku kecemasan.

Dalam pada itu menerusi laporan Peraktastic, jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.20 malam.

WhatsApp Image 2021-11-27 at 15.42.22

KEADAAN Axia itu selepas api berjaya dipadamkan oleh bomba.

Menurut jurucakap itu, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dikerah ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

"Kebakaran melibatkan sebuah kereta Perodua Axia yang musnah 70 peratus tetapi tiada mangsa terlibat," kata jurucakap itu.

Operasi yang diketuai PBK II Rahman Abdullah itu, tamat sepenuhnya pada pukul 7.55 malam dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

axia, kereta, terbakar, ipoh, perak, hangus