Polis buru individu terlibat kes gaduh di Setapak


  • 112
  • Khamis, 25 Nov 2021

TANGKAP layar video tular melibatkan insiden pergaduhan yang berlaku di sebuah restoran di Setapak, Kuala Lumpur.

POLIS sedang memburu individu yang terlibat dengan insiden pergaduhan di sebuah restoran di Jalan Genting Klang, Setapak, Kuala Lumpur seperti yang tular di media sosial pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Saralathan Duraisamy berkata, pihaknya telah menerima laporan polis daripada orang awam pada Rabu.

"Sehubungan dengan itu, satu siasatan telah dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Wangsa Maju di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Siasatan dan usaha untuk mengesan pihak-pihak yang terlibat masih dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video tersebut kerana ia boleh mendatangkan kegusaran awam.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Gaduh, Setapak, Restoran,