Mayat wanita terapung ditemui di sungai Kampung Kuala Abang


  • 112
  • Rabu, 24 Nov 2021

MAYAT tersebut dibawa ke bahagian Forensik Hospital Dungun. — Gambar Hiasan

PENDUDUK Kampung Kuala Abang, Kuala Dungun pada Selasa dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita yang terapung di sebatang sungai.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat tersebut lebih kurang 10 meter dari tebing sungai, kira-kira jam 3 petang.

"Sejurus menerima maklumat, pihak kami terus ke lokasi dimaklumkan iaitu di belakang sebuah rumah di Kampung Kuala Abang, Kuala Dungun.

"Setibanya di lokasi, didapati ada satu mayat terapung dan mayat berkenaan terus diangkat keluar sebelum dibawa ke bahagian Forensik Hospital Dungun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Baharudin berkata, susulan penemuan mayat tersebut, siasatan lanjut berkaitan satu laporan polis yang dibuat sebelum ini mengenai wanita hilang dari Kampung Batu Tiong, Kuala Dungun selepas keluar dari rumah pada Ahad.

"Pihak keluarga terlibat dipanggil ke Bahagian Forensik Hospital Dungun bagi membuat pengecaman terhadap mayat sebelum dibuat pengecaman oleh ibu dan dua abang si mati.

"Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan konsisten mati disebabkan lemas sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian," katanya.

Sementara itu, menurut laporan Harian Metro, mayat tersebut pada mulanya ditemui oleh seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada 3 petang ketika bermain di kawasan alur terbabit.

Kanak-kanak berkenaan memberitahu perkara tersebut kepada bapa saudaranya, Mohd Shahrul Abdul Wahab yang kemudian menghubungi Balai Polis Dungun untuk melaporkan mengenai penemuan mayat itu.

"Sebelum kejadian, anak saudara saya ternampak sekumpulan biawak di kawasan alur terbabit. Ketika turun di tebing alur terbabit, dia terkejut apabila ternampak mayat manusia sebelum dia menghubungi saya untuk pengesahan.

"Sebaik saya tiba di lokasi, saya dapati ia mayat wanita berdasarkan baju kurung yang dipakainya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Normaini Mamat, 43, yang berasal dari Kampung Batu Tiong, Kuala Dungun. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram